Jenazah pegawai 69 komando dikebumi mengikut istiadat di Ipoh

Jenazah pegawai 69 komando dikebumi mengikut istiadat di Ipoh

JENAZAH Allahyarham diterbangkan dari Lapangan Terbang Tawau menggunakan pesawat TUDM jenis C130 ke Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) Ipoh, Perak hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenazah pegawai kanan Pasukan 69 Komando (VAT69), Allahyarham Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin yang meninggal dunia ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Mataking, Semporna, Sabah semalam dibawa pulang dan akan dikebumikan di Tanjung Rambutan, Perak.

Menerusi perkongsian di Facebook, jenazah Allahyarham diterbangkan dari Lapangan Terbang Tawau menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis C130 ke Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) Ipoh, hari ini.

Pesawat dijadual berlepas pada pukul 11 pagi tadi dan tiba sekitar pukul 3 petang.

“Ketibaan jenazah di PLPGU akan disambut dengan istiadat sebelum dibawa ke Masjid Saidina Abu Bakar, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk solat jenazah.

“Allahyarham kemudiannya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bakar Bata juga mengikut istiadat,” katanya.

Allahyarham Khairil Azhar terlibat dalam pelbagai operasi khas yang mencabar termasuk Op Daulat di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 12 Februari 2013 dan berakhir pada April tahun sama.

Beliau turut mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa sebagai jurulatih payung terjun.

Sebelum ini, Allahyarham dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan menyelam di kawasan perairan berhampiran Pos Gabungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekitar pukul 10.25 pagi semalam.

Beliau tiba di jeti Pulau Mataking bersama sepasukan Team Charlie VAT 69 kira-kira pukul 8 pagi sebelum bergerak ke lokasi latihan selepas membuat persiapan peralatan.

Bantuan awal termasuk pertolongan cemas dan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) diberikan oleh kakitangan resort dan anggota VAT69 yang berada di lokasi.

Mangsa kemudiannya dibawa keluar sebelum dihantar menggunakan bot ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut.

Allahyarham dikenang sebagai pegawai komando yang berdedikasi, berani dan berpengalaman luas dalam operasi-operasi khas yang menuntut ketangkasan serta keberanian luar biasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN