KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan dalaman terhadap seorang pegawai kanan sebuah jabatan di Kontinjen Kuala Lumpur selepas disyaki melindungi aktiviti haram di ibu negara.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan itu akan dibuat selepas siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai.
“Saya mengesahkan pegawai kanan berpangkat Deputi Superintenden itu ditahan SPRM, kelmarin.
“SPRM telah memaklumkan tangkapan pegawai itu kepada saya. Biarlah SPRM siasat dahulu, kemudian siasatan dalaman akan dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Semalam, media melaporkan seorang pegawai kanan di IPK Kuala Lumpur ditahan SPRM semalam selepas dipercayai terbabit melindungi aktiviti haram di sekitar ibu negara.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, PDRM sentiasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dengan salah laku dan kes jenayah.
Malah, jelas beliau, ia turut membabitkan pegawai kanan yang gagal membuat pengisytiharan harta.
“Baru-baru ini, saya telah menukarkan beberapa Ketua Polis Daerah (KPD) dan pegawai kanan yang tidak mengisytiharkan harta mengikut tempoh diberikan.
“Tiada anggota dan pegawai akan terkecuali diambil tindakan,” tegas beliau.
Sementara itu, pegawai kanan polis tersebut disyaki menerima wang suapan dalam bentuk tunai daripada sindiket perjudian, maksiat dan kumpulan gangsterisme di sekitar Kuala Lumpur.
Satu sumber mendedahkan, suapan itu diperoleh suspek yang berusia 40-an antara tahun 2021 hingga awal tahun ini.
“Hasil penahanan ke atas suspek, SPRM turut menemukan sejumlah wang bernilai lebih RM1.2 juta hasil serbuan di beberapa premis milik suspek.
“Suspek utama telah ditahan di Putrajaya kelmarin, manakala suspek kedua yang merupakan anggota bawahannya ditahan pada hari yang sama di sekitar Kuala Lumpur,” katanya di sini. – UTUSAN










