JDT terus kebal, tewaskan Selangor 2-0

JDT terus kebal, tewaskan Selangor 2-0

PEMYERANG JDT, Bergson di asak pemain Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, hari ini.-IHSAN JST
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC sekali lagi gagal memecahkan kebuntuan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila tunduk 0-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan meneruskan penguasaan mutlak mereka dengan mencatat kemenangan ke-13 berturut-turut dalam liga, sekali gus memadam rekod tanpa kalah Selangor yang bertahan tujuh perlawanan sebelum ini.

Kali terakhir Gergasi Merah menundukkan JDT dalam saingan Liga Super adalah pada musim 2017 dengan kemenangan 2-1, sekali gus menggambarkan jurang kualiti yang masih sukar dirapatkan.

Keputusan tersebut turut merencatkan hasrat Selangor untuk memberi tekanan kepada Kuching City dan Kuala Lumpur City apabila mereka kekal di tangga keempat liga, tiga mata di belakang dua pencabar berkenaan.

JDT membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi percubaan Nacho Mendez yang terkena pertahanan Selangor, Richmond Ankrah sebelum bola menerjah gawang, menewaskan penjaga gol tuan rumah, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Walaupun ketinggalan, Selangor memperkemaskan organisasi pertahanan dan cuba mengimbangi tekanan JDT, malah hampir menyamakan kedudukan menerusi serangan balas pantas Chrigor Moraes pada minit ke-16, namun percubaannya dinafikan Syihan Hazmi.

Kesilapan Ankrah yang menghantar bola ke belakang pada minit ke-22 hampir mengundang padah apabila Jairo da Silva memintas hantaran tersebut, namun ketangkasan Kalamullah menyelamatkan keadaan.

Penjaga gol Selangor itu terus menjadi benteng terakhir apabila menafikan rembatan deras Oscar Arribas pada minit ke-41, memastikan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, JDT terus menguasai perlawanan namun Selangor berjaya mengehadkan ruang dan mengekang ancaman berbahaya ke arah gawang mereka.

Sebaliknya, jentera serangan tuan rumah tampak tumpul apabila gagal menghadirkan sebarang percubaan berbahaya bagi menguji Syihan, sekali gus menyukarkan usaha memburu gol penyamaan.

Harapan Selangor untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata berkecai apabila penyerang gantian, Bergson da Silva, meledak gol kedua JDT pada masa kecederaan babak kedua sekali gus mengesahkan tiga mata penuh milik juara bertahan itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN