UZBEKISTAN: Juara dunia Formula Satu (F1) 2025, Lando Norris, menyifatkan kejayaan merangkul kejuaraan dunia sulungnya sebagai “hari terbaik dalam hidup” selepas menamatkan perlumbaan penutup musim Grand Prix Abu Dhabi di tempat ketiga, Disember lalu.
Pemandu McLaren itu mengesahkan gelaran dunia pertamanya apabila mengatasi juara bertahan Max Verstappen dari Red Bull serta rakan sepasukan, Oscar Piastri, sekali gus melakar sejarah peribadi dalam kariernya.
Dalam vlog pertamanya sejak dinobatkan sebagai juara dunia, Norris mengakui dia menjangkakan detik penentuan kejuaraan itu akan menjadi terlalu huru-hara dan penuh tekanan.
“Minggu menjelang perlumbaan terbesar dalam hidup saya. Saya tidak tahu bagaimana perasaan saya, bagaimana saya patut bertindak atau siapa saya sepatutnya pada ketika itu.
“Saya sangka saya akan sangat gementar kerana saya memang gementar setiap perlumbaan dan sesi kelayakan. Itu perkara biasa.
“Tetapi sebaik sahaja saya masuk ke dalam kereta, saya rasa bersedia. Saya sangat tenang. Seperti satu hari biasa di pejabat,” katanya.
Norris turut mendedahkan emosinya ketika beberapa pusingan terakhir perlumbaan, apabila masa seolah-olah bergerak perlahan di dalam kokpit McLaren MCL39 miliknya.
“Rasanya seperti perlumbaan biasa, tetapi apabila tinggal dua pusingan, masa mula perlahan. Anda mula memikirkan setiap skru, setiap bolt, setiap wayar dan apa sahaja yang boleh berlaku,” katanya.
Menurut Norris, fikirannya kembali mengimbau permulaan kariernya dalam go-kart, termasuk kenangan bersama keluarganya, yang membuatkan emosinya hampir tumpah.
“Itulah kali pertama sepanjang musim saya benar-benar sedar apa yang sedang berlaku dan apa yang bakal saya capai.
“Saya hanya membayangkan ibu bapa dan keluarga saya berada di garaj untuk empat selekoh terakhir,” ujarnya.-AGENSI










