Gandingan baharu buat Aaron-Wooi Yik cemas

Gandingan baharu buat Aaron-Wooi Yik cemas

Aksi pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika menentang pasangan China, Chen Xu Jun dan Liu Yang pada pusingan keenam belas Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026, di Stadium Axiata Arena, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gandingan lelaki baharu China, Chen Xu Jun-Liu Yang menghadirkan tentangan sengit sehingga membuat beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan aksi mencabar sebelum mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, hari ini.

Beregu No.2 dunia itu terpaksa bermandi peluh selama 62 minit sebelum mencatat kemenangan menerusi pertembungan tiga set 21-14, 14-21, 21-14.

Aaron berkata, kehadiran gandingan baharu sering memberi cabaran berbeza, khususnya pasangan dari China yang sememangnya terkenal dengan corak permainan sukar diramal.

“Kami sememangnya sudah menjangkakan perlawanan yang getir. Pasangan baharu selalu memberikan cabaran kepada kami, lebih-lebih lagi dari China yang bukan mudah untuk dikalahkan, jadi kami membuat persediaan rapi.

“Kami tidak memandang ringan perlawanan ini. Di dalam gelanggang, kami hanya fokus untuk mengutip mata satu demi satu,” kata Aaron kepada pemberita selepas perlawanan, hari ini.

Pada aksi suku akhir esok, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan sama ada pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani atau gandingan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Kim Dong Ju.

Mengulas kemungkinan pertemuan ulangan final Sukan SEA Thailand 2025 menentang Sabar-Reza, Aaron menegaskan beliau enggan mengimbau kembali kekalahan yang meragut gelaran temasya dwitahunan itu, bulan lalu.

“Saya rasa kami hanya perlu fokus dan lakukan yang terbaik untuk diri sendiri. Ini sudah tahun baharu dan apa yang berlaku sebelum ini sudah berlalu.

“Jadi, kami bermula semula dari bawah dan ini adalah kejohanan pertama tahun ini. Fokus kami hanyalah untuk memberikan prestasi terbaik,” katanya.

Untuk rekod, pencapaian tertinggi Aaron-Wooi Yik di Terbuka Malaysia adalah mara ke separuh akhir pada edisi 2022.

Kali terakhir beregu lelaki negara menjuarai kejohanan bertaraf Super 1000 itu adalah menerusi gandingan Goh V Shem-Lim Khim Wah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN