PARIS: Nottingham Forest mengesahkan tempat ke pusingan play-off Liga Europa selepas membelasah Ferencvaros 4-0 dalam aksi terakhir fasa liga, semalam manakala Celtic turut mengesahkan kemaraan ke fasa kalah mati selepas menewaskan Utrecht.
Kemenangan besar itu bagaimanapun hanya membolehkan Forest menamatkan kempen fasa liga di kedudukan ke-13 keseluruhan, sekali gus terlepas peluang untuk layak secara automatik ke pusingan 16 terakhir.
Dalam perlawanan yang berlangsung di City Ground, dua jaringan Igor Jesus serta gol sendiri pemain pertahanan Ferencvaros, Bence Otvos meletakkan Forest selesa di hadapan sebelum James McAtee melengkapkan kemenangan menerusi sepakan penalti lewat permainan.
Pengendali Forest, Sean Dyche memuji kebangkitan pasukannya selepas kekalahan tipis kepada Braga minggu lalu.
“Ia bukan perjalanan mudah dengan jadual padat dan keperluan perjalanan yang mencabar. Bangkit daripada kekalahan dan menampilkan persembahan seperti ini amat menggembirakan,” katanya.
Sementara itu, Celtic mengesahkan kemaraan selepas mencatat kemenangan 4-2 ke atas Utrecht di Glasgow.
Tiga gol dalam tempoh 19 minit pertama menerusi Benjamin Nygren, gol sendiri Nick Viergever dan sepakan penalti Arne Engels meletakkan pasukan tuan rumah di landasan tepat. Utrecht sempat merapatkan jurang sebelum tandukan Auston Trusty memastikan kemenangan Celtic.
Celtic dijangka berdepan Stuttgart atau Ferencvaros dalam pusingan seterusnya.
Dalam satu lagi perlawanan, Aston Villa mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Salzburg 3-2 di Villa Park, sekali gus menamatkan fasa liga di tempat kedua.
Villa kini menanti undian pusingan 16 terakhir dan berpotensi bertemu Lille, PAOK, Red Star Belgrade atau Celta Vigo.
Dalam perkembangan lain, Lyon muncul pasukan terbaik fasa liga selepas merakam tujuh kemenangan daripada lapan perlawanan, manakala Midtjylland, Real Betis, Porto, Braga, Freiburg dan Roma turut layak terus ke pusingan 16 terakhir. – AFP










