Dua nelayan gagal ditemukan, operasi SAR diperluas

Dua nelayan gagal ditemukan, operasi SAR diperluas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu di perairan Batu Pahat di sini telah diperluaskan sehingga jarak 207 batu nautika persegi.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, operasi itu diambil susulan pihaknya masih gagal menemukan sebarang petanda lokasi kedua-dua mangsa selepas SAR dibuat di kawasan mereka dilapor terjatuh.

“Kami menggesa komuniti maritim agar mengutamakan keselamatan ketika turun ke laut termasuk memakai jaket keselamatan atau menangguhkan aktiviti ke laut sekiranya cuaca tidak baik.

“Para nelayan juga dinasihat agar sentiasa peka dengan risiko di laut dan melakukan persediaan awal bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Mohd. Fadzli Misran, 41, dan rakannya, Mohd. Saiful Azli Ahmad, 45, hilang selepas keluar untuk memeriksa bubu udang dan memancing kira-kira 800 meter dari jeti Sungai Tongkang pada kira-kira pukul 6 petang, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, kehilangan mereka hanya disedari penduduk apabila bot dinaiki mereka ditemukan bersama peralatan memancing namun tanpa kelibat kedua-duanya.

Mohammad Zaini turut memberitahu, operasi SAR melibatkan bot Petir milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta nelayan tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN