PETALING JAYA: Jaguh muay thai dunia, Buakaw Banchamek dijangka mencuri tumpuan peminat sukan tempur apabila dijadualkan beraksi pada Kejohanan Muay Thai T-Fight All-Stars 2026 di Stadium Titiwangsa, 24 April ini.
Kehadiran ikon dari Thailand itu dianggap detik bersejarah buat arena muay thai tempatan apabila Buakaw bakal turun dalam acara utama menentang petarung dari China, Meng Gaofeng.
Pengasas T-Fight, Shamsudeffendi Mohammad berkata, penganjuran kejohanan berkenaan merealisasikan impian mereka untuk membawa nama besar muay thai dunia ke Malaysia.
“Buakaw ialah ikon muay thai yang dikenali di seluruh dunia, malah ada yang mungkin tidak mengenali sukan ini tetapi tahu siapa Buakaw, dan kali ini impian itu menjadi kenyataan,” katanya.
Walaupun Buakaw dilihat sebagai pilihan, Shamsudeffendi mengingatkan bahawa Gaofeng bukan lawan mudah selepas merekodkan 33 kemenangan termasuk sembilan knockout daripada 45 pertarungan profesional.

Secara keseluruhan, T-Fight All-Stars akan menampilkan tujuh perlawanan membabitkan 14 petarung dari Malaysia, Thailand, China, Indonesia, Kemboja, Uganda dan Maghribi.
Kepelbagaian negara yang terlibat sekali gus mengukuhkan status kejohanan itu sebagai platform antarabangsa dalam kalendar sukan tempur.
Penganjur optimis penganjuran T-Fight All-Stars bukan sahaja mampu menarik minat peminat tempatan, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab sukan tempur di rantau ini.










