Bekas Ketua Balai Bomba Peramu sujud syukur bebas salah guna kuasa

Bekas Ketua Balai Bomba Peramu sujud syukur bebas salah guna kuasa

SHEIKH Hassan Sheikh Zainuddin melakukan sujud syukur selepas Mahkamah Tinggi Kuantan di Kuantan, Pahang membebaskannya daripada pertuduhan salah guna kuasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Selepas melalui proses perbicaraan yang panjang sehingga tujuh tahun, seorang pesara kerajaan akhirnya dapat menzahirkan kelegaan dengan melakukan sujud syukur apabila Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membebaskannya daripada semua pertuduhan.

Bekas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu, Pekan dekat sini, Sheikh Hassan Sheikh Zainuddin, 61, dilihat berjalan ke satu sudut sejurus selepas keluar dari bilik Mahkamah dan melakukan sujud syukur.

Dia sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM194,062.10 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan pada 16 Mac 2022 selepas didapati bersalah menganugerahkan kontrak bekalan makanan kepada syarikat milik isterinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Samry Masri hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen itu selepas meneliti keseluruhan keterangan serta membenarkan semua rayuan yang dibuat tertuduh.

Pada 2018,  Sheikh Hassan didakwa menyalahgunakan kedudukannya bagi memperoleh suapan dengan menganugerahkan kontrak kepada Puncak Cahaya Azam Enterprise, sebuah syarikat milik isterinya.

Kontrak berkenaan melibatkan penyediaan makanan untuk anggota yang terlibat dalam program dan operasi anjuran Balai Bomba dan Penyelamat Peramu antara Mac 2014 hingga 3 Ogos 2015, dengan nilai setiap kontrak antara RM1,075 hingga RM7,500.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, manakala Sheikh Hassan diwakili peguam G. Ravishankar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN