MADRID: Real Sociedad menjejaskan usaha Barcelona mempertahankan kejuaraan apabila jaringan Goncalo Guedes menghadiahkan kemenangan mengejut 2-1 dalam aksi La Liga, semalam sekali gus skuad kendalian Hansi Flick tewas buat kali pertama selepas 12 perlawanan.
Dua jaringan Barcelona dibatalkan, kini hanya mendahului seteru utama, Real Madrid dengan satu mata di puncak liga selepas pasukan kendalian Alvaro Arbeloa menewaskan Levante, Sabtu lalu.
Mikel Oyarzabal meletakkan Sociedad di hadapan, namun sebaik sahaja Marcus Rashford menyamakan kedudukan untuk Barcelona, Goncalo Guedes pantas menjaringkan gol kemenangan.
“Saya beritahu pasukan kami bermain dengan baik, kami cuma kurang bernasib baik. Ada hari-hari seperti ini dan anda tidak tahu kenapa anda kalah, tetapi ini hanya satu perlawanan dan sekarang kami perlu fokus pada perlawanan seterusnya,” kata Flick.
Penjaga gol La Real, Alex Remiro melakukan beberapa aksi menyelamat penting untuk menafikan percubaan Barcelona.
“Tiga mata yang hebat dan satu perlawanan yang hebat.
“Kami memulakan tahun ini dalam prestasi yang sangat baik…inilah tenaga yang kami ada, bagaimana kami telah berubah (kebelakangan ini),” kata Remiro. – AFP










