50 rumah dibadai ribut menjelang Syawal - Utusan Malaysia

50 rumah dibadai ribut menjelang Syawal

LIM Ban Hong meninjau rumah yang rosak akibat dibadai ribut di Gedung Lalang, Bukit Rambai, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Syawal yang bakal disambut minggu ini dirasakan hambar bagi penduduk Gedung Lalang dan Taman Bukit Rambai di sini selepas 50 buah rumah rosak akibat dilanda ribut, petang semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.00 petang itu, penduduk mendakwa hujan lebat luar biasa disusuli ribut petir dan angin kencang selama beberapa minit menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut.

Berlaku kerosakan seperti bumbung tercabut, struktur bangunan retak serta beberapa kediaman dan kenderaan dihempap pokok tumbang.

Mangsa, Noryah Talib, 75, berkata, dia melalui detik mencemaskan apabila angin kuat secara tiba-tiba melanda ketika sedang berada di luar rumah.

“Saya duduk luar masa itu, hujan biasa saja mula-mula. Lepas itu tiba-tiba angin kuat, pokok pisang semua tumbang. Saya terus lari masuk rumah sebab takut kena hempap,” katanya ketika ditemui hari ini.

Seorang pekerja kilang, Mohamad Asri, 29, berkata, kejadian berlaku terlalu pantas apabila hujan yang pada awalnya biasa bertukar ribut dalam tempoh singkat.

Mohamad yang tinggal bersama ibu dan adiknya berkata, ruang tamu rumah mereka dimasuki air akibat kerosakan tersebut.

“Tak sampai beberapa minit, hujan jadi lebat dan angin kuat. Tiba-tiba bumbung rumah saya terangkat dan tercabut. Memang habis basah dalam rumah. Tapi syukur kami tiga beranak selamat, tak ada yang cedera,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, bantuan kewangan akan disalurkan secepat mungkin bagi membantu mangsa melakukan kerja baik pulih rumah.

“Walaupun bantuan ini mungkin tidak menampung sepenuhnya kos tetapi ia diharap dapat meringankan beban mangsa, terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN