KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tindakan pantas beliau mengarahkan peruntukan segera disediakan bagi menggantikan titi gantung yang runtuh di Kampung Chatel Damai, Lata Rek, kelmarin.
Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai sudah diberikan arahan untuk menyelaras segala urusan berkaitan dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri serta agensi berkaitan.
Katanya, tindakan itu bertujuan memastikan kerja penggantian jambatan dapat disegerakan dan dilaksanakan secara teratur.
“Kerajaan negeri komited untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan demi menjamin kebajikan rakyat serta memastikan kemudahan awam yang selamat.
“Kerjasama itu bagi memastikan kemudahan yang disediakan itu berfungsi dan dapat disediakan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.
Mohd. Nassuruddin memberitahu, susulan insiden itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai dan Ahli Parlimen Kuala Krai sudah turun padang untuk melihat keadaan sebenar.
Katanya, tindakan awal bagi membantu mangsa sudah digerakan termasuk dan memastikan keselamatan penduduk setempat berada dalam keadaan baik.
“Kerajaan negeri turut menzahirkan rasa simpati dan keprihatinan terhadap semua mangsa yang terbabit dalam kejadian itu. Saya mendoakan semua mangsa diberikan kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan.
“Insya-Allah dengan kerjasama erat semua pihak, penyelesaian dapat dilaksanakan dengan pantas dan segera,”ujarnya.
Utusan Online semalam melaporkan, lebih 50 tetamu yang menghadiri majlis perkahwinan berdepan detik cemas apabila sebuah titi gantung di Sungai Chatel Damai, Lata Rek di sini runtuh secara tiba-tiba menyebabkan mereka terjatuh ke dalam sungai.
Kejadian pukul 2 petang itu dipercayai berlaku apabila rombongan pengantin lelaki bertembung dengan tetamu yang selesai menghadiri kenduri di atas titi gantung tersebut yang menyebabkan ia runtuh selepas tidak mampu menampung beban.-UTUSAN










