PETALING JAYA: Atlet renang para negara, Abd Halim Mohamad mengakui dia perlu bijak untuk memilih kejohanan yang menawarkan slot untuk beraksi di temasya besar pada tahun ini.
Abd Halim menggondol lima pingat emas, satu perak dan satu gangsa di Sukan Para ASEAN (APG) berkata, tidak semua kejohanan siri dunia yang bakal disertainya dalam menuju ke Sukan Para Asia Aichi-Nagoya, Oktober ini.
“Selepas ini, tumpuan saya lebih kepada persiapan bagi menghadapi Sukan Para Asia. Menuju ke temasya itu ada banyak kejohanan siri dunia tapi saya perlu melihat keadaan tubuh sebelum menyertainya.
“Selain itu, saya kena lihat sama ada kejohanan itu penting untuk menawarkan slot menyertai temasya penting seperti Sukan Para Asia dan kejohanan dunia,” katanya.
Abd Halim membuktikan dirinya sukar ditandingi pada temasya dwitahunan itu apabila sebelum ini dia turut meraih lima emas dan satu gangsa di APG 2023.
Sementara itu, atlet renang wanita para negara, Carmen yang berpangkalan di luar negara berkata, dia sudah pun melayakkan diri menyertai Sukan Para Asia namun perlu mendapat pelepasan daripada majikan untuk menyertainya.
“Saya harap dapat menyertai Sukan Para Asia, kalau majikan beri saya pelepasan sudah tentu saya akan menyertainya.
Carmen kini berpangkalan di London selepas bekerja sebagai peguam berjaya membawa pulang dua pingat emas, empat perak dan satu gangsa daripada APG 2025. –UTUSAN










