Anderson ‘putus’ cara baik 

Anderson ‘putus’ cara baik 

Eric Anderson (kiri) mencapai keputusan dengan Persekutuan Renang Malaysia untuk tidak lagi bersama skuad kebangsaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Arena renang negara dikejutkan dengan pengumuman pengunduran ketua jurulatih kebangsaan, Eric Anderson selepas beliau dan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) bersetuju menamatkan kerjasama.

Kontrak jurulatih kelahiran Kanada itu tamat hari ini, dengan kedua-dua pihak bersetuju sudah tiba masanya untuk mengambil hala tuju baharu walaupun prestasi kem renang berada pada tahap cemerlang.

Anderson berkata, tiada sebarang isu atau ketegangan di sebalik pemergiannya dan hubungannya dengan MAS kekal profesional.

“Saya menikmati tempoh saya sebagai ketua jurulatih kebangsaan tetapi sudah tiba masanya untuk bergerak ke arah berbeza.

“Apabila bekerja di peringkat persatuan, penting ada penjajaran dari semua pihak. Ia keputusan bersama dan tiada isu negatif. Saya teruja dengan masa akan datang,” kata Anderson.

MAS dalam kenyataan rasmi semalam memaklumkan keputusan ini dicapai selepas Sukan SEA Thailand 2025 pada 20 Disember lalu, sambil merakamkan penghargaan atas sumbangan Anderson dan memastikan susunan interim bagi mengekalkan kestabilan dan kebajikan atlet.

Meskipun meninggalkan jawatan ketika pasukan berada di kemuncak prestasi, Anderson berkata, beliau mahu memberi tumpuan lebih luas kepada pembangunan sukan renang melalui kerja perundingan, pendidikan jurulatih dan sokongan kepada komuniti renang.

Justeru, Anderson memaklumkan beliau akan terus berpangkalan di Asia Tenggara dan kekal aktif bekerja di rantau ini.

“Saya bangga dengan pencapaian dua tahun ini, tetapi kini saya mahu fokus pada pembangunan sukan di rantau ini dan membantu pertumbuhan komuniti renang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×