KUALA LUMPUR: Suasana pilu menyelubungi Axiata Arena apabila beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa akur bergelar naib juara selepas tewas pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026, sebentar tadi.
Pada aksi penuh dramatik itu, beregu No.2 dunia berkenaan berdepan cabaran getir juara bertahan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dalam perebutan gelaran berprestij Super 1000 tersebut.
Set pertama menyaksikan Aaron-Wooi Yik bertahan hebat menepis smash demi smash yang dilepaskan beregu No.1 dunia itu, namun ketahanan mereka akhirnya goyah apabila tewas 15-21 dalam tempoh 18 minit.
Set kedua menyajikan kebangkitan membanggakan apabila Aaron-Wooi Yik mempamerkan semangat juang tinggi, memaksa juara dunia 2025 itu ke set penentuan selepas menang meyakinkan 21-12.
Bagaimanapun, set penentuan berlangsung mendebarkan dengan pertarungan pukulan demi pukulan, sebelum gandingan Korea Selatan itu tampil lebih tenang untuk menoktahkan perlawanan dengan kemenangan 21-18.
Kekalahan tersebut sekali gus melanjutkan kemarau 12 tahun beregu lelaki negara untuk menjulang kejuaraan Terbuka Malaysia, selepas kali terakhir dimenangi oleh Goh V Shem-Lim Khim Wah.
Lebih menyayat hati, ini juga merupakan kekalahan ketujuh Aaron-Wooi Yik dalam aksi final kejohanan bertaraf Super 1000, apabila kesemua percubaan mereka berakhir tanpa gelaran.
Namun begitu, gandingan negara itu tetap wajar diberi pujian kerana berjaya menghidupkan kembali kehadiran wakil tuan rumah di final Terbuka Malaysia, selepas kali terakhir legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei muncul juara pada edisi 2018.
Selaku juara, Won Ho-Seo Seung Jae membawa pulang hadiah wang tunai AS$107,300 (RM439,232), manakala Aaron-Wooi Yik menerima AS$50,750 (RM207,745) sebagai naib juara. – UTUSAN










