KUBANG PASU: Sebanyak 180 kenderaan asing pelbagai jenis diperiksa oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam sepanjang operasi bersepadu sejak 15 Januari lalu.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, lima notis telah dikeluarkan terhadap kenderaan yang terlibat pelbagai kesalahan teknikal dan dokumentasi.
“Selain itu, Op Harian Sistem Kawalan Sempadan (SKS) mendapati 29 motosikal penambang Thailand telah diperiksa dan semuanya diarahkan berpatah balik ke Thailand tanpa sebarang tangkapan direkodkan.
“Pelaksanaan Op Bersepadu AKPS di laluan masuk juga berjalan dengan lancar dan berkesan, tanpa sebarang insiden keselamatan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, ujar Mohd. Nasaruddin, beberapa rampasan turut direkodkan, antaranya rampasan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) melibatkan pelbagai makanan sejuk beku tanpa dokumen import sah serta pelabelan tidak patuh Akta Makanan 1983, dengan anggaran nilai RM4,760.
“Rampasan oleh Unit Mesin Pengimbas Kargo (UMPK/CBM) pula melibatkan cubaan membawa masuk makanan tidak diikrar kastam, termasuk beras dan produk makanan segera, dengan nilai rampasan RM10,400.
“Manakala, rampasan yang dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) melibatkan daging babi dan daging lembu dengan nilai keseluruhan RM3,511,” katanya.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan setakat hari ini dianggarkan sebanyak RM18,671 dengan operasi berkenaan dijangka tamat pada 15 Februari depan.-UTUSAN










