17 rumah atas air Kg. Dumpil musnah terbakar

17 rumah atas air Kg. Dumpil musnah terbakar

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di Kampung Dumpil, Putatan, Sabah melibatkan 17 buah rumah, pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTATAN: Sebanyak 17 buah rumah atas air di Kampung Dumpil di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.

Panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.59 pagi, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan tiba di lokasi sekitar pukul 7.04 pagi, kira-kira empat kilometer (km) dari balai.

Ketua BBP Putatan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, kebakaran melibatkan rumah jenis tidak kekal.

“Sebanyak 14 buah rumah terbakar 100 peratus, sebuah rumah terbakar 50 peratus dan dua lagi terbakar 10 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Sherriyana berkata, operasi pemadaman turut dibantu BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang melibatkan keseluruhan 22 anggota.

Katanya, pihaknya menggunakan tiga aliran sepanjang 300 kaki dengan lima pancutan air dengan sumber diperoleh daripada jentera bomba serta sungai berhampiran.

“Operasi berjaya dikawal pada pukul 8.04 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada 12.51 tengah hari selepas pasukan memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian. Siasatan lanjut berhubung punca kebakaran masih dijalankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×