Terbuka India: Cabaran perseorangan lelaki berakhir awal

Terbuka India: Cabaran perseorangan lelaki berakhir awal

Leong Jun Hao
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA: Cabaran perseorangan lelaki negara di Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi berakhir lebih awal apabila kesemua wakil Malaysia tersingkir daripada kejohanan itu, hari ini.

Justin Hoh terlebih dahulu turun menentang wakil China, Lu Guang Zu, dalam pertemuan sulung antara kedua-dua pemain tersebut.

Namun, pemain ranking ke-39 dunia itu gagal mengekang kehebatan lawannya yang berada di ranking ke-15 dunia apabila tewas straight set 17-21, 15-21 dalam tempoh 42 minit.

Justin dijadual meneruskan kempen jelajahnya ke Istora Senayan, Jakarta bagi saingan Indonesia Masters, dengan satu lagi cabaran sukar menantinya apabila dijadual berdepan pemain China, Wang Zheng Xing, pada aksi pusingan pertama.

Sementara itu, Leong Jun Hao kembali bertemu wakil Jepun, Yushi Tanaka, buat kali pertama selepas tiga tahun sejak pertemuan mereka di Indonesia Masters 2023, namun sekali lagi berdepan kekecewaan apabila terpaksa menarik diri pada set kedua.

Jun Hao yang bergelut sejak awal permainan dikejutkan oleh pemain ranking ke-21 dunia itu apabila tewas 5-21 pada set pertama.

Pada set kedua, Jun Hao ketinggalan 3-8 sebelum memaklumkan kepada pengadil bahawa beliau tidak mampu meneruskan perlawanan dan mengambil keputusan untuk menarik diri.

Difahamkan, keadaan udara di New Delhi yang berada pada tahap kritikal dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 657, iaitu dalam zon berbahaya, menyebabkan Jun Hao mengalami masalah kesihatan.

Status penyertaan bekas juara remaja Asia itu di Indonesia Masters masih menjadi tanda tanya, dengan beliau dijadual menentang wakil Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin, pada kejohanan tersebut minggu depan.

Semalam, pemain profesional negara, Lee Zii Jia terlebih dahulu pulang awal selepas tewas kepada wakil Denmark, Rasmus Gemke sekali gus menandakan tiada wakil perseorangan lelaki mara ke pusingan kedua kejohanan bertaraf Super 750 berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN