PETALING JAYA: Umat Islam disarankan supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan sebarang tawaran badal haji diiklankan secara meluas di surau, masjid serta platform media sosial oleh agensi pelancongan mahu pun individu bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, perkhidmatan badal haji yang ditawarkan adalah sukar dilaksanakan secara komersial kerana setiap jemaah, termasuk penduduk tempatan di Arab Saudi, kini perlu memiliki visa haji yang sah untuk menunaikan haji.
Katanya, kebanyakan pakej badal haji pula ditawarkan pada harga yang tidak munasabah kerana jauh lebih rendah berbanding kos sebenar ditetapkan Kerajaan Arab Saudi untuk seseorang menunaikan haji secara sah.
“Kerajaan Arab Saudi mewajibkan setiap jemaah luar negara memiliki visa haji yang sah, manakala penduduk tempatan perlu mendapatkan permit khas dan tidak semua permohonan akan diluluskan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
“Kos terendah pakej haji untuk penduduk tempatan adalah sekitar SR10,000 atau RM11,300 yang hanya merangkumi permit dan khemah di Masyair. Kos ini tidak termasuk kos penginapan, makanan dan pengangkutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pada musim haji akan datang, Kerajaan Arab Saudi akan terus melaksanakan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.
Katanya, jika jemaah haji ditangkap menggunakan visa atau permit yang tidak sah akan berdepan hukuman denda, penjara dan akan disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi untuk tempoh beberapa tahun.
“Kerajaan Malaysia dan Tabung Haji sentiasa memberi peringatan dalam usaha meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan menyemak kesahihan terlebih dahulu supaya orang awam tidak menjadi mangsa penipuan pakej haji dan badal haji.
“Orang ramai perlu lebih bijak menilai iklan tawaran badal haji serendah RM1,500. Saya menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan perkhidmatan badal haji secara komersial demi mengelakkan penipuan dan kerugian,” katanya. – UTUSAN









