PETALING JAYA: Pendaftaran pelarian di Malaysia oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dilaksanakan secara unilateral tanpa penglibatan agensi kerajaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keadaan itu menyebabkan kerajaan tidak mempunyai elemen kawalan terhadap permohonan individu sebagai pelarian termasuk jumlah dan lokasi keberadaan mereka di negara ini.
Katanya, keadaan itu juga mengakibatkan kerajaan tidak memiliki data rasmi bilangan pemegang kad UNHCR di Malaysia kerana UNHCR tidak mempunyai obligasi untuk menyerahkan data rasmi kepada Malaysia.
“Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, yang bermakna negara tidak diwajibkan memperuntukkan, menjamin dan memenuhi hak serta perlindungan pelarian seperti diperuntukkan dalam dokumen antarabangsa tersebut.
“Bagaimanapun, atas dasar kemanusiaan, Malaysia memainkan peranan sebagai negara transit dengan membenarkan pelarian tinggal sementara sehingga mereka boleh dihantar balik ke negara asal apabila keadaan selamat atau dipindahkan ke negara ketiga melalui program resettlement yang diuruskan UNHCR,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Bebas-Kuala Kangsar) mengenai bilangan terbaharu pemegang kad UNHCR serta perancangan kerajaan untuk mewujudkan sistem khusus bersama UNHCR bagi memastikan status pelarian disemak oleh agensi kerajaan dalam menangani isu penyalahgunaan dokumen.
Menurut Saifuddin, kerajaan telah menambah baik Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 pada 2023 yang memperuntukkan mekanisme pengurusan pelarian mengikut undang-undang Malaysia bagi menangani isu berhubung pelaksanaan pendaftaran pelarian.
Katanya, melalui arahan itu, pengurusan pelarian dijalankan menggunakan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) iaitu dokumen tunggal bagi mengesahkan status individu sebagai pelarian di negara ini.
“Pelaksanaan DPP membolehkan kerajaan memperolehi maklumat individu pelarian secara sistematik, dengan data mereka didaftarkan di dalam sistem biometrik kerajaan bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan.
“Langkah ini dijangka dapat menangani isu penyalahgunaan dokumen pelarian tanpa bergantung kepada kerjasama dan data daripada entiti asing,” katanya. – UTUSAN










