TFC kembali temui rentak kemenangan

TFC kembali temui rentak kemenangan

PEMAIN TFC, Careca (kanan) cuba melepasi kawalan pemain IFC, Loqman Hakim dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini.- Ihsan Malaysia Football League
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU KAWAN : Terengganu FC (TFC) kembali menemui rentak kemenangan selepas berjaya membenam cabaran Imigresen FC (IFC) 3-2 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Negeri Batu Kawan, hari ini.

Bermula garang, pelawat hampir mendahului tuan rumah seawal minit pertama, namun, rembatan deras oleh penyerang sayap, Akhyar Rashid berjaya ditampan penjaga gol, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.

Sembilan minit kemudian, pemain kelahiran Brazil, Careca bagaimanapun berjaya menebus kehampaan itu apabila percubaannya selepas menerima umpanan Akhyar mengenai palang gol sebelum terus menerjah ke jaring tuan rumah untuk gol sulung TFC.

Tersentak dengan jaringan tersebut, tuan rumah kembali menggandakan asakan sebelum berjaya menyamakan kedudukan menerusi Joao Pedro pada minit ke-17.

Pelawat hampir di depan pada minit ke-44, namun, gol yang dijaringkan oleh kapten TFC, Shahrul Nizam hasil satu tendangan percuma dibatalkan oleh pengadil, Khairulsyahmi Khalidi akibat ofsaid.

Masuk babak kedua, pelawat kembali garang apabila Careca menggandakan jaringan buat skuad Penyu selepas menanduk masuk umpanan Engku Shakir pada minit ke-64 sebelum Gabriel Silva menambah derita tuan rumah dengan gol ketiga menerusi tendangan penalti pada minit ke-70.

Enggan berputus asa, tuan rumah cuba bangkit dan berjaya merapatkan jaringan menerusi gol sendiri pemain TFC, Syafiq Danial yang cuba mengeluarkan percubaan berbahaya oleh pemain tengah IFC, Elvis Kamsoba pada minit ke-87.

Keputusan 3-2 bagaimanapun kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan TFC kini semakin menghampiri kelompok empat pasukan teratas Liga Super manakala IFC pula kini di tangga kesembilan liga selepas mengharungi 11 perlawanan.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi liga menyaksikan Pulau Pinang FC tidak berdepan masalah untuk menewaskan PDRM FC 3-0 di Stadium Bandaraya.

Dylan Wenzel-Halls menjaringkan dua gol untuk tuan rumah masing-masing pada minit ke-23 dan minit ke-74 manakala satu lagi jaringan dihasilkan oleh Firdaus Saiyadi.

Pulau Pinang FC kini berada di tangga ke-10 liga manakala PDRM FC di kedudukan tercorot. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN