PETALING JAYA: Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu, menggantikan Hannah Yeoh yang bertukar portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Pelantikan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan barisan baharu anggota pentadbiran Kerajaan MADANI di Bangunan Perdana Putra, di sini, sebentar tadi.
Dr. Mohammed Taufiq sebelum ini dikenali sebagai antara wakil rakyat muda yang aktif memperjuangkan isu pembangunan belia dan kemasyarakatan, sekali gus dijangka membawa dimensi baharu kepada kepimpinan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Dalam rombakan kabinet yang sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim turut berpindah portfolio apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
Peralihan itu menyaksikan Adam Adli menggalas tanggungjawab baharu selepas berkhidmat di KBS sejak pembentukan kerajaan sebelum ini.
Kekosongan jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan kini diisi oleh Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol yang dilantik bagi membantu menerajui kementerian berkenaan.
Sementara itu, Hannah Yeoh yang sebelum ini mengetuai KBS kini dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), satu portfolio strategik dalam struktur pentadbiran Kerajaan MADANI.
Perdana Menteri berkata, pelantikan dan pertukaran portfolio tersebut adalah sebahagian daripada langkah penstrukturan semula kabinet bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran kerajaan.
Menurutnya, langkah itu turut bertujuan memastikan pelaksanaan dasar dan agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, tersusun dan menyeluruh.-UTUSAN










