Tang Jie-Ee Wei fokus Sukan Asia 2026

Tang Jie-Ee Wei fokus Sukan Asia 2026

AKSI Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ketika menentang beregu China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin pada separuh akhir Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China, kelmarin.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sukan Asia di Jepun, tahun depan antara fokus utama beregu campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, selepas menutup aksi mereka, musim ini, terkandas di separuh akhir pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China, kelmarin.

Juara dunia itu tunduk kepada gandingan tuan rumah yang menghuni ranking No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-9, 11-21, 17-21 dalam masa 58 minit.

Tang Jie berkata, memburu penampilan pada Sukan Asia di Jepun, tahun depan menjadi antara motivasinya memandangkan temasya itu hanya hadir empat tahun sekali.

“Hendak katakan sasaran terbesar, saya rasa bukanlah sasaran terbesar, tetapi ia sebagai motivasi, saya rasa Sukan Asia. Sudah tentu setiap kejohanan kami mahu lakukan yang terbaik.

“Tetapi seperti yang anda semua tahu, Sukan Asia hanya empat tahun sekali. Jadi, sudah tentu setiap pemain mahu melakar pencapaian di temasya itu,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, kelmarin.

Sementara itu, Ee Wei pula berkata, WTF merupakan kejohanan terakhir, tahun ini, dan walaupun gagal mengulangi pencapaian edisi lalu muncul naib juara pada kejohanan berprestij itu, dia masih berpendapat mereka telah menjalan tugas dengan baik.

Katanya lagi, dia dan Tang Jie memulakan musim 2025 dengan keputusan tidak begitu bagus, tetapi di atas dasar saling percaya dan terus bekerja keras dalam setiap latihan, mereka akhirnya berjaya mengharungi cabaran penuh liku tersebut.

“Tetapi, kami masih perlu belajar daripada pihak lawan tentang cara mengendalikan situasi apabila tiba di mata yang genting. Jadi, itulah yang akan kami lalui sebagai atlet. Kami akan buat yang terbaik untuk kejohanan akan datang,” katanya.

Sekiranya diimbas kembali pencapaian Tang Jie-Ee Wei sepanjang musim 2025, beregu campuran No. 4 dunia itu berjaya berada di puncak karier mereka apabila dinobatkan selaku juara dunia di Paris, Ogos lalu.

Selepas mengharungi pelbagai episod duka ekoran perpisahan sementara mereka, awal tahun ini, Tang Jie-Ee Wei semakin matang menangani krisis bersama.

Cuma apa yang perlu dilakukan Tang Jie-Ee Wei pada musim baru nanti, belajar untuk beraksi lebih konsisten dan Terbuka Malaysia yang bermula 6-11 Januari, tahun depan, menjadi ujian pertama mereka.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN