PETALING JAYA: Kem taekwondo negara terus mempamerkan taring di Sukan SEA 2025 apabila Muhammad Syafiq Zuber menghadiahkan pingat perak dalam aksi final kyorugi kategori lelaki lebih 80 kilogram (kg) dan tidak melebihi 87kg di Island Hall, Bangkok, hari ini.
Syafiq bangkit dengan aksi agresif namun terpaksa akur tewas 1-2 kepada wakil tuan rumah, Cho Chaichon, dalam pertarungan sengit yang berlangsung penuh taktikal.
Kejayaan meraih perak itu tetap dianggap signifikan buat atlet itu yang mempertahankan momentumnya selepas memenangi emas di Kemboja tahun lalu dalam kategori Welterweight 80kg.
Pada edisi 2023, Syafiq mencipta kejutan besar apabila menundukkan jaguh Indonesia, Naufal Khairudin Osanando, sekali gus melakar nama sebagai salah seorang prospek utama taekwondo Malaysia.
Aksi final hari ini menyaksikan Syafiq cuba mengulangi kegemilangan itu, namun kelebihan rangsangan penyokong tuan rumah dan ketepatan serangan Cho menjadi pemisah keputusan.
Meski gagal mempertahankan emas, persembahan bertenaga Syafiq diyakini menjadi pembakar semangat skuad taekwondo negara dalam usaha menambah koleksi pingat di Bangkok. – UTUSAN










