KUALA LUMPUR: Berbanding beregu yang menjadi sandaran pingat emas, sektor perseorangan Malaysia tidak diletakkan sebagai pilihan pada Sukan SEA 2025 di Thailand, tetapi, sebaliknya, mereka lebih sesuai menggalas peranan selaku ‘underdog’.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonnassen berkata, anak-anak buahnya tidak berada dalam kelompok pemain pilihan dan mereka memiliki tanggungjawab untuk menumbangkan pencabar berkelas dunia.
“Saya mahu pemain-pemain ini mempamerkan permainan berkelas dunia sebagai ‘underdog’, saya berharap dapat menyaksikan satu persembahan yang menunjukkan kemajuan mereka sebagai pemain,” katanya pada sidang media di ABM dekat sini, Rabu lalu.
Seramai tujuh wakil perseorangan lelaki dan wanita diterbangkan ke Bangkok yang terdiri daripada Leong Jun Hao, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Justin Hoh, Eogene Ewe, K. Letshanaa, Wong Ling Ching dan Siti Zulaikha Muhammad Azmi.
Menurut Jonnassen, beliau juga mahu melihat anak-anak buahnya memanfaatkan peluang yang ada bagi menguji kemampuan masing-masing terutama apabila berdepan lawan yang kuat nanti.
“Saya mahu mereka jadikan penampilan pada Sukan SEA kali ini sebagai kayu pengukur terhadap kemajuan masing-masing yang juga boleh dijadikan persiapan terbaik bagi menghadapi musim 2026,” katanya menjelang aksi berpasukan yang bermula, hari ini.
Pengendali kelahiran Denmark itu berkata, pada temasya dwi tahunan tersebut, para pemain akan diuji dalam acara berpasukan dan juga individu.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, barisan pemain perseorangan negara tidak memiliki pengalaman yang luas seperti beraksi di pentas akhir dalam kejohanan besar.
“Jadi, dari sinilah mereka belajar bagaimana untuk mengendalikan jangkaan serta tekanan dan sebagai jurulatih, menjadi tugas saya membantu pemain-pemain ini,” ujarnya.
Ketika ditanya pula mengenai sasaran, Jonnassen berkata, harapan yang diletakkan memang tinggi, tetapi, beliau lebih selesa tidak mendedahkannya.
“Mengenai sasaran, biarlah saya sahaja yang tahu, tetapi, saya masih mahukan persembahan terbaik dan dapat melihat apa yang para pemain pamerkan semasa latihan diterjemahkan di dalam pertandingan,” jelasnya. – UTUSAN










