Speedy Tigers, Malaysian Tigress kekal dominasi ASEAN

Speedy Tigers, Malaysian Tigress kekal dominasi ASEAN

PEMAIN-Pemain skuad hoki wanita kebangsaan menyanyi lagu Negaraku selepas menerima pingat emas di Sukan SEA 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad hoki kebangsaan lelaki dan wanita kebangsaan membuktikan mereka kekal menjadi kuasa besar di rantau Asia Tenggara apabila memenangi pingat emas Sukan SEA 2025 selepas menewaskan lawan masing-masing.

Speedy Tigers yang merupakan pilihan utama berjaya melakar kemenangan bergaya selepas membelasah Thailand 8-0 manakala Malaysian Tigress membenam cabaran Indonesia 6-0 di Universiti Sukan Kebangsaan Thailand, Kampus Chonburi, semalam.

Untuk skuad lelaki, ini merupakan kali ke-17 berturut-turut Malaysia memenangi pingat emas pada temasya dwitahunan tersebut sejak menyertainya pada edisi 1971 ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah.

Satu-satunya edisi yang tidak dimenangi adalah pada 1973 di Singapura, apabila skuad negara menamatkan saingan selaku naib juara.

Pasukan Speedy Tigers lebarkan kutipan kepada 18 pingat emas.

Ketua jurulatih negara, Sarjit Singh berpuas hati dengan persembahan pemainnya malah turut berterima kasih kepada barisan pimpinan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang menjadi pendorong kejayaan Speedy Tigers.

“Pemain beraksi dengan baik. Kami ke sini untuk memenangi pingat emas dan kami berjaya mendapatkannya.

“Tahniah kepada pemain dan terima kasih kepada KHM, barisan kejurulatihan dan MSN. Mereka melakukan tugasan dengan baik. Kami menang pingat emas dengan selesa,” katanya.

Beraksi di Universiti Sukan Kebangsaan Thailand, Kampus Chonburi, pemain Speedy Tigers tidak berdepan masalah untuk merobek gawang tuan rumah yang dibimbing oleh bekas ketua jurulatih negara, Tai Beng Hai.

Amanraj Sarwan bertindak cemerlang apabila menjaringkan tiga gol dan selebihnya disumbangkan oleh Muhajir Abdu Rauf, Nik Aiman Nik Rozemi, Faiz Helmi Jali, Fitri Saari dan Alfarico Liau.

Sementara itu, pengendali skuad hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim menghamburkan pujian kepada pemainnya apabila berjaya memenangi pingat emas Sukan SEA 2025.

Katanya, walaupun pasukannya melakar kemenangan besar namun mereka dipaksa bekerja keras oleh pasukan lawan yang bijak memberi tekanan dalam perlawanan akhir itu.

“Kami bermula dengan perlahan tetapi pemain dapat mengawal emosi mereka dan menjaringkan gol dengan tekanan yang diberikan. Saya berasa lega kerana pemain dapat mengekalkan pingat emas ini,” katanya.

Selepas ini, Malaysian Tigress akan melakukan persiapan bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia Wanita 2026 pada Februari hingga Mac depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN