KUALA LUMPUR: Skuad badminton lelaki negara mara ke separuh akhir acara berpasukan Sukan SEA 2025 selepas menundukkan Filipina 3-0 di Gimnasium Thammasat Rangsit, hari ini.
Perseorangan utama, Leong Jun Hao membuka laluan kemenangan dengan menewaskan Jewel Angelo Albo 21-17, 21-18.
Gandingan pecah ganding, Man Wei Chong–Soh Wooi Yik terus menambah mata kedua negara apabila mudah mengetepikan Solomon Jr Padiz–Julius Villarbrille 21-10, 21-12.
Justin Hoh melengkapkan kemenangan bergaya 3-0 selepas mengatasi tentangan Clarence Villaflor 21-18, 21-19.
Kemenangan itu memastikan Malaysia berdepan cabaran getir tuan rumah, Thailand, pada separuh akhir esok.
Thailand turut melangkah ke separuh akhir selepas mudah menewaskan Myanmar 3-0 dalam satu lagi aksi suku akhir.
Dalam saingan wanita, skuad negara bekerja keras sebelum menang 3-1 ke atas Vietnam pada suku akhir.
Pearly Tan–M Thinaah memikul tugas penting apabila menang mudah bagi menghadiahkan mata ketiga negara.
Malaysia akan menentang Indonesia di separuh akhir wanita selepas lawan itu membenam Myanmar 3-0.










