Semico Capital sasar raih RM23.2 juta menerusi IPO Pasaran ACE - Utusan Malaysia

Semico Capital sasar raih RM23.2 juta menerusi IPO Pasaran ACE

TAI Lee Chuen (dua dari kiri) bersama pengurusan tertinggi Semico Capital Bhd dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Hwang Investment Bank Berhad, Hanif Ghulam Mohammed (dua dari kanan) semasa pelancaran prospektus Semico Capital Berhad di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semico Capital Berhad (Semico Capital), penyedia produk dan perkhidmatan hiburan keluarga serta pengedar mainan dan barangan koleksi, menyasarkan RM23.2 juta menerusi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 13 Januari 2026. 

Permohonan bagi terbitan awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada pukul 5 petang, 2 Januari 2026. 

Tawaran awam permulaan (IPO) itu melibatkan terbitan awam sebanyak 92.7 juta saham biasa baharu, mewakili 25.7 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan, serta tawaran untuk jualan 18 juta saham sedia ada atau 5 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan.

Daripada jumlah saham terbitan, sebanyak 18 juta saham akan diperuntukkan kepada Orang Awam Malaysia melalui proses pengundian, 15 juta saham kepada pengarah, pekerja serta rakan niaga yang layak di bawah Peruntukan Borang Pink, manakala baki 59.7 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

Sementara itu, kesemua 18 juta saham tawaran akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Semico Capital, Tai Lee Chuen berkata, pelancaran prospektus itu menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan pertumbuhan kumpulan.

“Daripada sebuah perniagaan perdagangan kecil, kami kini berkembang menjadi pembekal utama kepada pusat hiburan keluarga serta pengedar lebih 60 jenama mainan dan barangan koleksi di Malaysia.

“Penyenaraian ini akan membolehkan kami mempercepatkan pelan pertumbuhan, mengembangkan skala operasi dan mengukuhkan lagi kehadiran kami di seluruh negara,” katanya semasa Majlis Pelancaran Prospektus Semico Capital Berhad di sini, semalam. 

Semico Capital bercadang menggunakan hasil IPO berjumlah RM23.2 juta terutamanya bagi pembelian mesin arked dan hiburan baharu serta penggantian mesin sedia ada, selain pembelian mainan dan barangan koleksi, pembayaran balik pinjaman bank, modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.

Sementara itu, Ketua Kewangan kumpulan, Amilia Sabtu berkata, seiring pertumbuhan perniagaan, pihaknya kini semakin berupaya menjangkakan trend pasaran termasuk keperluan inventori yang perlu dipegang oleh syarikat.

Menurutnya, jumlah inventori kumpulan berada pada tahap terkawal dan dirancang berdasarkan analisis trend semasa pasaran.

“Kami merancang inventori berdasarkan trend. Pada masa sama, kami sentiasa mencari harta intelek (IP) baharu untuk dipasarkan dan berkembang bersama. 

“Jika dilihat di kedai dan pusat beli-belah, masih ramai pengguna beratur untuk membeli. Dari sudut pasaran Malaysia, permintaan itu masih wujud dan kami percaya pertumbuhan ini adalah mampan,” katanya. 

Pada harga IPO 25 sen sesaham, kumpulan akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM90 juta selepas penyenaraian, berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 360 juta saham.

Dari segi prestasi kewangan, hasil kumpulan meningkat kepada RM29.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 berbanding RM5.3 juta pada 2022, manakala keuntungan selepas cukai meningkat kepada RM6.0 juta daripada RM1.2 juta dalam tempoh yang sama.

Affin Hwang Investment Bank Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Ejen Penempatan Tunggal dan Penaja Jamin Tunggal bagi pelaksanaan IPO itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×