PETALING JAYA: Badminton menutup tirai musim 2025 dengan pencapaian kurang memberangsangkan selepas gagal mencapai kutipan empat pingat emas yang disasarkan pada Sukan SEA di Bangkok, Thailand, selain, ketiadaan wakil negara di pentas final pada Jelajah Dunia Akhir (WTF) di Hangzhou, China.
Pada Sukan SEA hanya beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah yang memenuhi jangkaan apabila membawa pulang pingat emas, manakala beregu lelaki dan campuran serta berpasukan lelaki gagal mencapai sasaran yang diletakkan.
Pasangan No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekadar memenangi pingat perak dalam acara individu dan juga berpasukan, manakala gandingan No. 4 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun meraih gangsa.
Juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei lebih mengecewakan apabila mereka gagal ke final dan sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa.
Rentetan kegagalan itu Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky bersedia melepaskan jawatannya, tetapi apakah tindakan tersebut dapat membantu menyelesaikan masalah yang melanda dan sudah tentu jawapannya tidak.
Pada WTF, lima wakil Malaysia turut gagal dalam misi mereka dengan Pearly-Thinaah dan Tang Jie-Ee Wei berjaya mara sejauh separuh akhir, manakala, Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai terkandas di peringkat kumpulan.
Jika dinilai secara keseluruhan, isu pemain-pemain negara adalah untuk mendapatkan rentak yang konsisten kerana badminton bukan tiada pencapaian, musim ini, selepas Aaron-Wooi Yik menjuarai Kejohanan Asia dan Tang Jie-Ee Wei dinobatkan selaku juara dunia.
Isu konsisten dan mentaliti barisan pemain negara perlu diperbetulkan agar perjuangan mereka sepanjang musim tidaklah menjadi separuh matang.-UTUSAN









