PETALING JAYA: Pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kini berada di fasa kedua yang memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan struktur baharu kedua-dua institusi dan hal-hal berkaitan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, di dalam fasa kedua, perbincangan memberi tumpuan kepada memuktamadkan struktur baharu selepas pelaksanaan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Katanya, perbincangan juga melibatkan penelitian keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, pindaan undang-undang berkaitan serta penggubalan undang-undang baharu.
“Ia adalah bagi memastikan pelaksanaan agenda reformasi ini berjalan secara menyeluruh dan berkesan,” katanya dalam hantaran di platform X, malam semalam.
Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya fasa kedua itu selaras dengan persetujuan Jemaah Menteri terhadap model pengasingan penuh seperti yang diperinci dalam Laporan Akhir
Kajian Komparatif yang telah diserahkan kepada Pasukan Petugas Khas Teknikal yang diketuai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran, semalam.
“Laporan tersebut merumuskan hasil kajian komprehensif yang merangkumi perbandingan amalan terbaik antarabangsa serta pandangan lebih 7,000 responden melalui beberapa sesi perbincangan kumpulan fokus, soal selidik dan temu ramah,” katanya.
September lalu, kerajaan memutuskan untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, selepas Azalina membentangkan model pengasingan jawatan itu kepada Jemaah Menteri.
Selepas pertimbangan dibuat, Jemaah Menteri memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh, yang mana kedua-dua jawatan itu diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perbincangan itu dihadiri oleh Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, Dewan Rakyat; Ahli Dewan Negara, Rita Sarimah Anak Patrick Insol merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang, Dewan Negara).
Turut hadir adalah Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.
Ia juga disertai Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman; Peguam Cara II Negara, Datuk Seri Umar Saifuddin Jaafar serta beberapa pegawai kanan kementerian dan agensi serta Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ezri Wahab.
“Langkah ini mencerminkan komitmen utuh dan tekad politik Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkukuh kebebasan, integriti dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara demi kesejahteraan rakyat sejajar dengan kerangka falsafah Malaysia Madani,” katanya. – UTUSAN










