Penganggur mengaku tidak bersalah cabul remaja perempuan di PPS - Utusan Malaysia

Penganggur mengaku tidak bersalah cabul remaja perempuan di PPS

TERTUDUH diiringi oleh dua anggota polis semasa menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Seksyen Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang penganggur didakwa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun di pusat pemindahan sementara (PPS) di sebuah sekolah di Jelawat dekat Bachok pada minggu lalu.

Pengakuan itu dibuat oleh tertuduh, Nik Mohammad Ilfam Mohammad Noor, 22, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizan Tuan Lah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di PPS sebuah sekolah di Jelawat, Bachok dekat sini kira-kira pukul 11 pagi pada 26 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Hajar tidak mencadangkan jaminan kerana tertuduh mempunyai rekod kes rogol pada 2024 yang ketika ini sedang dalam prosiding perbicaraan.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 8 Disember ini untuk lantikan peguam dan sebutan semula kes.

Utusan Malaysia pada 29 November lalu melaporkan, seorang lelaki dicekup polis selepas didakwa mencabul seorang remaja perempuan semasa mereka berlindung di sebuah PPS di daerah ini.

Kejadian pukul 11 pagi itu melibatkan suspek berusia 21 tahun sementara mangsa 16 tahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN