KUALA LUMPUR: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) akan menganjurkan Malam Baca Puisi PENA bersempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 pada 6 Disember ini, bertempat di Pusat Konvensyen Setia City 2, Shah Alam, bermula jam 8.00 malam.
Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam kenyataannya berkata, acara bertemakan ‘Serumpun Sebudaya’ itu menonjolkan iltizam persatuan dalam merapatkan jalinan persaudaraan serantau melalui bahasa, budaya dan puisi.
“Tema ini juga dipilih bagi mengangkat kekayaan ekspresi budaya serumpun yang meliputi pengalaman, sejarah dan imaginasi masyarakat Nusantara. Saya harap acara ini dapat memperkaya pengalaman pengunjung SIBF serta mengukuhkan peranan puisi sebagai wahana penyatuan budaya serumpun,” katanya.
Menurut Mohamad Saleeh, acara yang akan dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari itu akan turut dimeriahkan dengan kehadiran sasterawan tanah air dan Nusantara iaitu Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan, Marzuki Ali, Marsli N.O, Azmi Ismail, Sani Sudin, Adiwangsa Sukma, Wani Ardy dan penyair dari Thailand, Zakariya Amataya.
“Kehadiran Menteri Besar Selangor menggambarkan komitmen kerajaan negeri dalam memartabatkan kegiatan kesusasteraan serta memupuk kecintaan terhadap budaya membaca dalam kalangan masyarakat Selangor khususnya, dan rakyat Malaysia amnya.
“Penampilan Sasterawan Negara dan Nusantara pula akan memberikan peluang kepada para peminat untuk mendekati karya dan suara mereka yang sudah lama mewarnai bidang puisi Melayu moden,” katanya.
Malam Baca Puisi PENA edisi khas ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka, Perbadanan Kota Buku, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan Pustaka Raja Tun Uda. – UTUSAN










