Nani tebus kecewa dengan emas Sukan SEA 2025

Nani tebus kecewa dengan emas Sukan SEA 2025

Atlet lontar peluru negara, Nani Sahirah Maryata ketika beraksi di Sukan SEA Thailand 2025, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Atlet lontar peluru negara, Nani Sahirah Maryata mengakui kegagalannya dalam beberapa kejohanan besar sebelum ini ditebus  dengan pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025, sebentar tadi.

Beraksi di Stadium Nasional Suphachalasai, atlet berusia 24 tahun itu mempamerkan semangat juang luar biasa untuk melakukan lontaran sejauh 16.36 meter (m), sekali gus memadam rekod kebangsaan miliknya sendiri,15.39m.

Kejayaan Nani menewaskan atlet tuan rumah, Areerat Intadis (16.04m) dan wakil Vietnam, Huyen Kim Thi (15.92m) disifatkan sebagai ‘magis’, memandangkan dia hadir ke Bangkok tanpa sasaran pingat selepas prestasi hambar sepanjang tahun ini.

“Banyak kali saya kalah tahun ini. Di Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 di Rhine-Ruhr, Jerman dan Kejohanan Asia, saya cuma mampu buat 14m,  Tak pernah cecah 15m pun. Saya sangat kecewa dan tertekan dengan keputusan tersebut.

“Jadi hari ini saya tekad dan saya cakap pada diri sendiri, aku nak lawan mereka, lawan diri sendiri, lawan sakit. Ini peluang terakhir tahun ini untuk saya buktikan kemampuan,” katanya dalam nada sebak selepas membutirkan pingat emas pada temasya dwitahunan tersebut.

Nani mengakui kejayaan melepasi jarak 16m itu adalah sesuatu yang tidak pernah terbayang di lintas fikirannya, malah tidak pernah dilakukan dalam sesi latihan.

“Orang tak letak sasaran emas pada saya. Malah dalam latihan pun tak pernah cecah 16m. Jadi ini memang rezeki dan kejutan paling besar tahun ini. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat buktikan kemampuan saya,” ujarnya.

Kejayaan Nani itu turut menjadi penyuntik semangat buat dirinya untuk mengintai peluang ke Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun hadapan, dengan sasaran baharu untuk melepasi jarak 17m.

Kecemerlangan kem olahraga negara di Bangkok turut diserikan dengan kejayaan Grace Wong yang menepati ramalan mempertahankan pingat emas acara baling tukul besi wanita, sambil memecahkan rekod kebangsaan dan temasya menerusi balingan 65.41m.

Sementara itu, impian jaguh pelari 400m negara, Umar Osman untuk mempertahankan pingat emas yang dirangkul sewaktu edisi 2023 di Kemboja tidak kesampaian apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelima terpantas dengan catatan 47.13 saat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN