Mohd Na’im harap Zulkifli teruskan agenda sudah dirangka

Mohd Na’im harap Zulkifli teruskan agenda sudah dirangka

RUU Mufti Wilayah
MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu, Senator Dr. Zulkifli Hasan diharapkan dapat menyambung kesinambungan agenda dan inisiatif yang sudah dirangka demi kepentingan agama serta negara.

Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar berkata, beliau menghargai dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas amanah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Sepanjang tempoh beliau menerajui portfolio Hal Ehwal Agama, katanya, Pelan Transformasi Al-Falah telah dilaksanakan sebagai kerangka utama pembaharuan institusi agama.

“Pelan ini telah memberi impak yang nyata melalui penambahbaikan tadbir urus institusi agama, penyelarasan dasar yang lebih bersepadu, peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan, serta pemerkasaan kebajikan umat Islam secara lebih tersusun dan berfokus.

“Pendekatan berteraskan data dan kebertanggungjawaban turut memastikan manfaat pelaksanaan dirasai secara langsung oleh kumpulan sasar,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tambah Mohd Na’im, beliau sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa segala kekuasaan dan ketetapan adalah milik Allah SWT dalam menerima setiap amanah serta perubahan sebagaimana firman-nya dalam Surah Ali ‘Imran ayat 26.

Semalam, Zulkifli dilantik ke jawatan Menteri selepas Datuk Mohd Na’im Mokhtar, digugurkan daripada jawatan itu.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri dalam pengumuman khas mengenai barisan Kabinet baru.

Sementara itu, jawatan Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pula diisi Marhamah Rosli.

Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan kepadawarga kerja agensi Hal Ehwal Agama terutamanya warga Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) atas komitmen, profesionalisme dan dedikasi yang telah ditunjukkan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Segala pencapaian yang dicapai adalah hasil kerja berpasukan dan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Zulkifli atas pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Saya mendoakan agar beliau dapat meneruskan amanah ini dengan sebaiknya serta menyambung kesinambungan agenda dan inisiatif yang telah dirangka demi kepentingan agama dan negara,” katanya.

Tambahnya, beliau akan terus memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Anwar serta agenda Madani dan terus berkhidmat kepada agama, rakyat dan negara dalam apa jua kapasiti yang diamanahkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN