MLBB negara raih emas dan perak acara e-sukan

MLBB negara raih emas dan perak acara e-sukan

SKUAD MLBB wanita berjaya mencipta sejarah tersendiri dalam arena e-sukan apabila menggengam pingat emas acara wanita MLBB di Bangkok, Thailand sebentar tadi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Skuad Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) negara menutup sukan SEA 2025 dengan kemanisan apabila  membawa pulang satu pingat emas dan satu pingat perak dalam acara e-sukan pada temasya Sukan SEA 2025 di Thailand.

Pingat emas disumbangkan oleh skuad wanita negara yang tampil penuh berdisiplin dan berkarisma untuk menundukkan cabaran Filipina 4-3 dalam aksi final yang cukup mendebarkan .

Pasukan negara yang dibarisi dibarisi Afrina Balqis Ibdhi Har Ali, Queenie Lim Mae Shen, Sharifah Alia Husna Syed Fakrrurozi, Hanis Wahidah Mohamad Dashuki dan Qurratul Ain Nurfarisha Mohd Nizam nyata mempamerkan kombinasi taktikal kemas serta komunikasi mantap sepanjang kejohanan.

Kejayaan tersebut menebus kekecewaan skuad lelaki negara yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas impian menamatkan penantian emas sekali lagi lebur apabila tewas 0-4 kepada negara yang sama  pada perlawanan akhir.

Malaysia yang turun dengan misi menebus kekalahan 0-2 di peringkat kumpulan nyata bergelut mengekang dominasi juara bertahan itu, sekali gus terpaksa akur dengan pencapaian naib juara buat edisi kedua berturut-turut.

Walaupun bermula garang, skuad lelaki yang diwakili Idreen Abdul Jamal, Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman, Ealtond Rayner, Muhammad Qayyum Ariffin Mohd Suhairi dan Hazziq Danish Mohamad Rizwan gagal menandingi kehebatan Filipina yang mempamerkan keunggulan taktikal serta kerjasama mantap sepanjang empat perlawanan.

Filipina mendominasi peta permainan dengan strategi agresif dan kawalan objektif yang rapi, sebelum menutup perlawanan dengan permainan pantas bagi mengesahkan kemenangan bersih 4-0.

Keputusan itu mengukuhkan status Filipina sebagai kuasa mutlak MLBB Sukan SEA sejak acara tersebut diperkenalkan pada edisi 2019 di Manila.

Bagaimanapun, pencapaian keseluruhan skuad MLBB negara yang membawa pulang satu emas dan satu perak tetap wajar dipuji, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa Malaysia terus relevan dan berdaya saing dalam arena e-sukan Asia Tenggara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN