BANGKOK: Harapan skuad Bawah 23(B-23) negara untuk mengesahkan tiket awal ke separuh akhir berkecai apabila Malaysia tunduk 0-2 kepada Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Rajamangala, sebentar tadi.
Masuk ke padang hanya memerlukan keputusan seri untuk muncul juara kumpulan, namun segala perancangan skuad bimbingan Nafuzi Zain tidak menjadi apabila Vietnam tampil lebih agresif dan tersusun untuk meraih tiga mata penuh.
Kekalahan itu menyaksikan Vietnam menggenggam enam mata maksimum sebagai juara kumpulan, sekali gus melangkah bergaya ke separuh akhir.
Sementara Malaysia pula kekal dengan tiga mata hasil kemenangan 4-1 ke atas Laos sebelum ini.
Lebih merumitkan, pintu ke separuh akhir kini bukan lagi di tangan sendiri sebaliknya skuad B-23 negara terpaksa menunggu keputusan perlawanan Kumpulan C antara Myanmar dan Indonesia untuk mengetahui nasib mereka sebagai calon naib juara terbaik.
Dengan format baharu yang hanya menerima tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik, Malaysia perlu berharap kepada ‘keajaiban’.
Perlawanan Myanmar–Indonesia mesti berakhir seri, atau mana-mana pasukan tidak menang dengan jurang melebihi tiga gol.
Vietnam kini menyertai Thailand dan Filipina yang sudah lebih awal mengesahkan slot ke empat terbaik.
Dalam perlawanan yang menyaksikan Malaysia gagal menyaingi kelasakan pemain Vietnam itu, skuad Naga Emas memanfaatkan dua serangan awal untuk meledak gol menerusi tandukan Nguyen Hieu Minh pada minit ke-11 sebelum Pham Minh Phuc menambah gol kedua pada minit ke-22.
Malaysia cuba mengubah rentak pada separuh masa kedua, namun kekentalan pertahanan Vietnam menutup terus ruang kebangkitan negara sehingga wisel penamat.-UTUSAN










