BANGKOK: Skuad futsal bawah 19 (B-19) kebangsaan bangkit mengikat Myanmar 3-3 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN 2025, sebentar tadi.
Dalam aksi di Stadium Nonthaburi itu, skuad kendalian Rakhpol Seinetngam bermula perlahan dengan Myanmar lebih menguasai permainan dengan taktikal yang tersusun.
Myanmar terlebih dahulu berada di hadapan pada minit kelima menerusi Kyaw Min Khat sebelum Malaysia bangkit mengikat kedudukan menerusi jaringan Iqbal Hazim Radzi seminit kemudian.
Kedudukan 1-1 tidak kekal lama apabila Myanmar kembali di depan menerusi Hae Mar Htay pada minit ke-10 sebelum Kaunt Htet Naing menjaringkan gol ketiga pada minit ke-18.
Separuh masa pertama berakhir dengan Myanmar mendahului Malaysia 3-1 dan bersambung babak kedua, Rakhpol menukar taktikal untuk kembali menekan lawan.
Percaturan itu berhasil apabila Malaysia meledak gol kedua menerusi kapten, Mohamad Faaris Amsyar Marhaidi pada minit ke-30 yang bijak melakukan larian dari sebelah kiri.
Gol itu membangkitkan semangat pemain negara apabila Muhammad Adam Rayyan Nor Hisam menjaringkan gol penyamaan untuk kedudukan menjadi 3-3 pada minit ke-33.
Pada minit-minit terakhir permainan, Malaysia dihidangkan peluang terbaik untuk meraih gol
kemenangan, namun percubaan Iqbal Hazim terkena tiang gol.
Keputusan 3-3 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.-UTUSAN










