KUALA LUMPUR: Bintang boling muda negara, Lavinia Kho dan Shaqeem Izwan Teh mencuri tumpuan apabila masing-masing mempamerkan prestasi cemerlang pada Kejohanan MILO Storm U22 International Junior All-Stars edisi Jubli Perak yang melabuhkan tirainya dengan penuh berprestij di Sunway Megalanes, semalam.
Lavinia mengesahkan statusnya sebagai antara prospek terbaik negara apabila muncul juara kategori terbuka wanita, manakala Shaqeem pula menamatkan saingan sebagai naib juara terbuka lelaki selepas tewas tipis dalam aksi final yang mendebarkan.
Atlet berusia 20 tahun dari Sarawak itu mempamerkan ketenangan luar biasa pada pusingan akhir stepladder apabila mencatatkan 242 jatuhan pin untuk menewaskan dua pemain kebangsaan, Adelia Nur Irwan Syazalee (224) dan Intan Nor Edryyana Nor Azliman (194).
Adelia sebelum ini mencuri perhatian selepas meraih pingat perak pada penampilan sulungnya di kejohanan dunia di Hong Kong, manakala Intan merupakan tonggak skuad remaja kebangsaan.
Kejayaan tersebut membolehkan Lavinia membawa pulang hadiah wang tunai RM18,000, selain menambah RM3,800 selepas menamatkan saingan di tempat kelapan kategori super junior (bawah 29 tahun) yang diperkenalkan buat julung kali tahun ini.
Dalam kategori campuran itu, Lavinia mencatatkan keseluruhan 2,147 jatuhan pin dalam 10 permainan sekali gus muncul sebagai wanita terbaik dalam kalangan 30 peserta.
Mengulas kejayaannya, Lavinia mengakui berdepan tekanan hebat ketika bersaing dengan pemain kebangsaan.
“Saya agak panik pada awalnya apabila melakukan split pada lontaran pertama. Berdepan Adelia dan Intan, saya perlu kekal tenang dan memberi sepenuh tumpuan. Syukur saya berjaya melakukan strike pada penghujung permainan,” katanya.
Beliau menyifatkan kejayaan itu sebagai pencapaian terbesar dalam karier juniornya setakat ini, sekali gus menamatkan penantian untuk naik ke podium Terbuka All-Stars.
“Ini podium pertama saya dalam kategori Terbuka. Persaingan sangat sengit dengan kehadiran pemain dari Korea Selatan, Singapura dan Australia. Pada tahap ini, satu kesilapan kecil boleh memberi kesan besar,” katanya.
Dalam saingan terbuka lelaki, dominasi Korea Selatan diteruskan apabila Kim Soo Han muncul juara selepas menewaskan Shaqeem 211-201 dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit.
Walaupun terlepas hadiah utama bernilai RM30,000 dan berpuas hati dengan RM18,000, Shaqeem menganggap pencapaian tersebut sebagai yang terbaik dalam musim ini.
“Sasaran saya hanyalah untuk naik podium dan ini kali pertama saya berjaya melakukannya. Sudah tentu sedikit kecewa tewas tipis di final, tetapi secara keseluruhan saya berpuas hati,” katanya.
Beliau berharap pencapaian itu dapat meningkatkan peluangnya dalam penilaian skuad kebangsaan menjelang kejohanan utama seperti Kejohanan Asia.
“Saya baru tahun pertama bersama skuad elit dan berharap keputusan ini memberi impak positif kepada pemilihan pasukan negara,” katanya.
Sementara itu, kategori super junior dimenangi pemain Jepun, Masaaki Yoshihara yang membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000.
Edisi ke-25 kejohanan MILO Storm U22 International Junior All-Stars menawarkan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM265,800 dan menarik lebih 800 penyertaan dari 16 negara, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai kejohanan boling junior paling berprestij dan terkaya di Asia.-UTUSAN










