Kibaran Jalur Gemilang bakar semangat Grace

Kibaran Jalur Gemilang bakar semangat Grace

REAKSI gembira atlet lontar tukul besi wanita kebangsaan, Grace Wong Xiu Mei selepas memenangi pingat emas dalam acara tukul besi wanita pada Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Nasional Suphachalasai, semalam.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Atlet baling tukul besi wanita negara, Grace Wong mengakui kibaran Jalur Gemilang di Stadium Nasional Suphachalasai telah menaikkan semangatnya hingga berjaya mencatat balingan 65.41 meter (m) untuk meraih emas di Sukan SEA Thailand 2025, semalam.

Lebih membanggakan, atlet kelahiran Sarawak itu memenangi pingat emas tersebut dengan memecahkan rekod Sukan SEA dan rekod kebangsaan miliknya sendiri.

Rekod kebangsaan yang berjaya dipadam Grace adalah 63.53m dan rekod temasya 61.87m yang dilakukannya sendiri pada edisi Sukan SEA di Kemboja dua tahun lalu.

Menurut Grace, keputusannya untuk berkampung di China selama tiga bulan membuahkan hasil apabila dapat memperbaiki corak balingannya sehingga meraih balingan terbaik untuk menewaskan dua atlet tuan rumah, Mingkamon Koomphon (perak) dan Sawitree Kaewasuksri (gangsa).

“Sebelum membuat balingan, saya rasa kondisi saya sangat baik dan saya lihat banyak bendera Malaysia berkibar, ia memberi semangat membara kepada saya. Saya beritahu diri saya bahawa saya perlu buat yang terbaik, tak mahu memalukan Malaysia dan akhirnya saya berjaya.

“Sebelum datang ke sini saya hanya sasarkan perak kerana atlet Thailand ketika ini berada di ranking pertama. Dia (Mingkamon Koomphon) pernah membaling sejauh 64m dan dia berlatih di Jepun. Namun, saya juga berlatih di China dan hasil latihan nampaknya membuahkan hasil kali ini.

“Dua tahun lepas jurulatih saya (Gu Guan) pulang ke China, jadi saya tiada jurulatih di Malaysia. Selepas berlaku perubahan dalam persatuan, Datuk Karim Ibrahim naik (Presiden MA), beliau membiayai latihan saya ke China. Sebelum ini saya guna duit saya sendiri.

“Kejayaan mencatat balingan lebih 65m juga satu kejutan kerana dalam latihan saya hanya mencatat lebih 60m sahaja. Saya berlatih di China selama tiga bulan, biarpun singkat, tekniknya mampu mengubah corak balingan saya untuk mencapai jarak yang saya capai sekarang,” katanya.

Ditanya perancangannya selepas ini, Grace menyasarkan untuk menaiki podium di Sukan Asia 2026 dengan sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa.

“Untuk tempat pertama dan kedua (Sukan Asia 2026) pastinya milik atlet China. Namun, untuk mencapai sasaran itu saya tahu saya perlu buat lebih baik lagi berbanding 65m,” katanya yang menyasarkan untuk mencatat balingan 68m selepas ini.

Sebagai rekod, emas di Sukan SEA Thailand 2025 merupakan pingat emas keempat Grace dalam Sukan SEA selepas menjuarai edisi 2017, 2021 dan 2023.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Nurul Hidayah Lukman menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan catatan 52.21m.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN