Kem terjun akhirnya sumbang pingat emas

Kem terjun akhirnya sumbang pingat emas

ATLET terjun negara, Nurul Farisya Alia Affendi (kiri)-Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam acara 10 meter (m) platform seirama wanita pada Sukan SEA Thailand 2025 di Pusat Akuatik Universiti Suvarnabhumi di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas dua hari hambar tanpa kilauan emas, kem terjun negara akhirnya menarik nafas lega apabila menamatkan penantian itu dengan kejayaan menjuarai acara 10 meter (m) platform seirama wanita di Pusat Akuatik Universiti Suvarnabhumi, hari ini.

Gandingan muda negara, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar–Nurul Farisya Alia Affendi, muncul juara dengan persembahan meyakinkan apabila mengumpul 248.40 mata untuk menghadiahkan pingat emas yang dinanti-nantikan.

Mereka menewaskan pencabar terdekat dari Singapura yang dibarisi atlet sensasi berusia 14 tahun, Ainslee Kwang, bergandingan bersama Ryenne Cham, yang sekadar mengutip 237.00 mata.

Pasangan Indonesia, Gladies Lariesa Garina Haga–Linar Betiliana, melengkapkan kedudukan podium dengan pingat gangsa selepas meraih 211.74 mata.

Sebelum itu, kem terjun lelaki negara berdepan kekecewaan apabila gagal menaiki podium dalam acara 3m papan anjal individu lelaki, dengan Elvis Priestly Clement menamatkan saingan di tempat keempat manakala penerjun berpengalaman, Muhammad Syafiq Puteh, di kedudukan kelima.

Kelmarin, satu-satunya sumbangan pingat hadir menerusi penerjun lelaki negara, Yong Rui Jie, yang menghadiahkan pingat gangsa dalam acara 1m papan anjal individu lelaki.

Kejayaan emas hari ini sekurang-kurangnya ‘menyelamatkan’ maruah dan tradisi kem terjun negara pada temasya dwitahunan itu selepas gagal mempertahankan rekod menyapu bersih semua pingat emas yang ditawarkan sejak edisi 2013 di Myanmar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN