PETALING JAYA: PUMA Malaysia melalui kerjasama berterusan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah melancarkan jersi ketiga Harimau Malaya 2025 yang menggabungkan inovasi prestasi dengan elemen reka bentuk moden dan segar.
Pelancaran ini melengkapkan rangkaian jersi musim 2025, selepas pengenalan jersi ‘Home’ dan ‘Away’ pada awal tahun ini.
“Tema bagi jersi ketiga Harimau Malaya 2025 ialah ‘Bangkit Bersama’ yang melambangkan semangat ketabahan kolektif serta fokus baharu terhadap bola sepak negara.
“Edisi ini turut mengetengahkan padanan warna yang baru bersama corak belang harimau sebagai penghormatan kepada identiti bola sepak Malaysia iaitu keberanian, kekuatan dan aspirasi terhadap kecemerlangan,” kata Pengurus Negara PUMA Malaysia, Steven Tan dalam satu kenyataan.
Rekaan jersi kali ini menampilkan kombinasi warna biru dan merah yang cukup menonjol, direka dengan potongan regular fit, lengan pendek serta kolar bulat.
Dihiasi logo PUMA Cat pada bahagian dada kanan dan Jalur Gemilang pada bahagian kiri, jersi ketiga itu turut menampilkan teknologi prestasi dan kelestarian terkini PUMA.
Ia turut memastikan pemain dapat beraksi pada tahap optimum dengan keselesaan maksimum, sejajar dengan komitmen jenama berkenaan terhadap penghasilan produk sukan yang lestari.
Antara ciri-ciri utama jersi terbaru ini termasuklah reka bentuk diinspirasikan oleh elemen Harimau Malaya, menonjolkan identiti dan sejarah bola sepak negara, serta menjadi lambang perpaduan bagi semua peminat Harimau Malaya.
Ia turut dilengkapi teknologi penyerapan peluh DRYCELL daripada PUMA bagi memastikan pemain dan peminat kekal kering serta selesa, sama ada di atas padang atau di kawasan tempat duduk penonton.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif RE:FIBRE PUMA, jersi ketiga Harimau Malaya 2025 ini diperbuat daripada sekurang-kurangnya 95 peratus bahan kitar semula, tanpa menjejaskan kualiti.
Beberapa peminat skuad Harimau Malaya dalam media sosial turut memuji rekaan jersi ketiga ini dan menyifatkan ia antara koleksi yang perlu dimiliki.
“Terimbau kenangan semasa kemenangan Piala AFF 2010 apabila tengok jersi ini. Ia salah satu koleksi yang perlu dimiliki,” tulis Izzati Salleh.
Sementara itu, Amir memohon skuad kebangsaan menggunakan jersi ketiga ini apabila turun berdepan Vietnam pada perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia 2027, di Hanoi, Mac ini.
“Lawa dan lebih menonjol…tolong pihak pengurusan skuad kebangsaan guna jersi ini lawan Vietnam nanti,” tulisnya.
Jersi Ketiga PUMA x FAM Harimau Malaya kini boleh didapati pada harga RM319 di PUMA.com, Kedai PUMA, serta kedai terpilih Al-Ikhsan dan Football Republic.-UTUSAN










