KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan bahawa mereka pasukan yang sukar digugat selepas membelasah pencabar terdekat Kuala Lumpur (KL) City 4-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Keputusan itu, membolehkan JDT terus mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super dengan rekod tanpa kalah dan mengumpul 33 mata hasil 11 kemenangan.
Skuad Harimau Selatan kini, melebarkan jurang kepada 10 mata mengatasi KL City di tangga kedua namun The City Boys memiliki satu perlawanan dalam tangan.
Dalam masa sama, rekod tanpa kalah KL City dalam Liga Super akhirnya lebur pada perlawanan ke-10.
Pada aksi terbabit, JDT yang masih segar dengan kejayaan menjulang Piala FA, Ahad lalu menguji gawang KL City FC pada minit ke-11 menerusi percubaan Jairo da Silva tetapi ia tepat ke dakapan Quincy Julian Kammeraad.
Bagaimanapun, pelawat memecah kebuntuan dengan dua gol pantas dalam tempoh tiga minit untuk meletakkan mereka selesa dengan kelebihan dua gol memasuki setengah jam perlawanan.
Gol pembukaan mereka berpunca daripada sepakan sudut Oscar Arribas yang ditanduk Antonio Glauder pada minit ke-28 manakala jaringan kedua diledak Manuel Hidalgo pada minit ke-30.
JDT menjaringkan gol ketiga di penghujung babak pertama selepas umpanan Nacho Mendez disambut Jairo untuk menyudahkan peluang terbabit walaupun diasak dua pertahanan KL City.
Arribas yang menjadi perancang untuk gol pembukaan JDT mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-72 hasil rembatan deras menewaskan Quincy buat kali keempat pada malam ini.
Usaha KL City FC untuk mendapatkan gol saguhati tidak berhasil dan keputusan itu kekal bagi membolehkan JDT mencatat kemenangan ke-11 berturut-turut dalam Liga Super musim ini.-UTUSAN










