PETALING JAYA: Masyarakat diingatkan agar tidak terlalu ghairah memperjuangkan hak asasi sehingga mengenepikan kepentingan keselamatan negara.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, keseimbangan antara tuntutan hak asasi dan usaha mengekalkan keamanan negara perlu diberi perhatian supaya tidak menjejaskan kestabilan umum.
Justeru, katanya, desakan pihak tertentu agar undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan kini Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012 dimansuhkan, wajar ditolak.
Beliau juga berpandangan supaya orang ramai tidak menyesal jika memansuhkan undang-undang pencegahan apabila berlaku serangan pengganas berskala besar seperti di negara jiran dan di peringkat antarabangsa.
“Malaysia beruntung kerana mempunyai pegawai dan anggota Cawangan Khas yang berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam menangani ancaman sabotaj di negara ini selepas serangan ke atas Amerika Syarikat (AS), pada 11 September 2001.
“Kita bernasib baik kerana ketika itu masih mempunyai ISA, satu-satunya undang-undang pencegahan dan pemulihan amat berkesan dalam menangani ancaman ke atas keselamatan negara sejak merdeka,” katanya menerusi hantara Facebook rasminya kelmarin.
Ayob berkata, kejayaan Cawangan Khas dalam membongkar aktiviti kumpulan Jemaah Islamiah (JI) mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Serangan digagalkan Cawangan Khas adalah kerana Malaysia mempunyai ISA, tiada gunanya lagi penyesalan selepas berlaku serangan dan nyawa tidak berdosa terkorban,” jelasnya.
Ayob berkata, tindakan proaktif Cawangan Khas di bawah ISA berjaya menggagalkan cubaan kumpulan JI melancarkan serangan ganas di Malaysia.
“Rancangan serangan Pusat Imigresen Woodland Singapura, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Pusat Hiburan di Lembah Klang dan kedutaan asing di Kuala Lumpur tergendala ekoran tangkapan besar-besaran anggota kanan JI.
“Perancang utama JI seperti Riduan Hisamudin @ Hambali; Mukhlas, Dr. Azahari, Nordin Mohd. Top dan lain-lain melarikan diri ke luar negara.
“Mereka inilah yang kemudiannya merancang dan melancarkan siri serangan besar-besaran di Indonesia bermula Oktober 2002,” jelasnya.
Mengenai konteks undang-undang pencegahan, Ayob berkata, negara Barat dan Asia juga memiliki undang-undang hampir sama bagi menangani ancaman pengganas dan lain-lain ancaman terhadap keselamatan negara.
“Singapura dan Brunei juga masih mengekalkan ISA. AS masih ada Akta Patriot. Begitu juga di Indonesia, India, Perancis, Australia dan lain-lain negara Barat,” katanya. – UTUSAN










