PETALING JAYA: Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah kini berada di kedudukan pendahulu keseluruhan bagi kelas ASB 1,000c selepas dia menjuarai perlumbaan 1 pada pusingan keenam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, semalam.
Saingan penutup musim itu yang kini hanya berbaki satu lagi perlumbaan, hari ini, menyaksikan Hafizh yang bernaung di bawah pasukan JDT Racing Team melakar masa terpantas 20 minit 551.228 saat (s) dan sekali gus mengutip 25 mata penuh.
Pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar dari pasukan Astra Honda Racing Team berada di tempat kedua (20:51.425s), manakala, wakil Jepun, Keito Abe dari pasukan SDG HARC-Pro Honda Filipina menamatkan aksinya di kedudukan ketiga (20:51.993s).
Kejayaan Hafizh itu membuka laluan buat anak jati Ampang, Selangor tersebut memintas pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat dari pasukan Honda Racing Thailand untuk mengungguli kedudukan keseluruhan dengan 173 mata.
Nakarin pula yang melengkapkan perlumbaan 1 di tangga keempat (20:52.974s) hanya menokok 13 mata yang sekali gus menyaksikan dia jatuh ke tempat kedua selepas mengumpul 165 mata, keciciran lapan mata di belakang Hafizh.
“Saya terkejut dengan rentak saya, hari ini (semalam), kami telah cuba pelbagai perkara semasa sesi latihan, semalam dan kami masih gagal meningkatkan prestasi pada sektor terakhir.
“Sewaktu perlumbaan, saya ubah strategi saya dan ternyata ia berbaloi kerana saya tahu saya bagus ketika berada di sektor kedua, jadi, saya fokus untuk menyerang Nakarin atau Andi di kawasan sama,” kata Hafizh sewaktu ditemu bual selepas perlumbaan berakhir.
Hafizh berkata, kemenangannya itu didedikasikan buat semua peminatnya di tanah air, pasukannya dan juga untuk dirinya sendiri selepas begitu banyak pengorbanan terpaksa dilakukan berjauhan dengan keluarga.
Abe pula kekal di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 157 mata, manakala, seorang lagi pelumba Malaysia, Muhammad Zaqhwan Zaidi yang mewakili pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia menghuni tangga keempat setelah mengutip 152 mata.
Dalam perlumbaan 1, Zaqhwan menyempurnakan aksinya di kedudukan kelima dengan catatan masa 20:58.280s.
Untuk Hafizh pula, kejayaannya, semalam merupakan kali keempat dia dinobatkan selaku juara.
Seandainya bekas pelumba MotoGP itu mengulangi pencapaian tersebut dalam perlumbaan 2, hari ini, yang merupakan aksi terakhir, musim ini, Hafizh akan dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kelas utama ASB 1,000 cc itu.
Misi utama pelumba berusia 31 tahun itu, esok adalah dia perlu menyekat Nakarin menamatkan perlumbaan 2 di kedudukan lebih baik berbanding dirinya dan keputusan podium wajib dicatat Hafizh. – UTUSAN








