MANCHESTER: Jaringan Erling Haaland memastikan Manchester City melonjak ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan West Ham 3-0.
City menekan Arsenal dalam perebutan kedudukan teratas apabila mencatat kemenangan ketujuh berturut-turut dalam semua pertandingan, dengan The Gunners berpeluang merampas semula takhta apabila bertemu Everton.
Haaland membuka jaringan seawal minit kelima selepas menyambar bola muntah hasil percubaan awalnya yang ditepis Alphonse Areola untuk meletakkan City di hadapan.
Penyerang Norway itu kemudian bertindak sebagai pencetus gol kedua apabila membantu Tijjani Reijnders meledak jaringan sulungnya di Stadium Etihad sebelum rehat.
West Ham berusaha merapatkan jurang pada separuh masa kedua namun gagal memanfaatkan beberapa peluang sekali gus kekal terperangkap di zon penyingkiran.
Haaland mengesahkan kemenangan City dengan gol ketiganya pada minit ke-69, jaringan ke-38 musim ini untuk kelab dan negara yang meletakkan City satu mata di hadapan Arsenal.
Di St James’ Park, Chelsea bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mencuri satu mata hasil jaringan Reece James dan Joao Pedro yang mengecewakan Newcastle.
Keputusan itu menyaksikan City menguasai carta liga buat sementara waktu, manakala Chelsea kekal dalam kelompok empat teratas meskipun berdepan tekanan prestasi tidak menentu.










