Genggam ijazah sebelum berjuang di Sukan SEA

Genggam ijazah sebelum berjuang di Sukan SEA

Afrina Syahirah Kaharudin (kanan) menerima skrol graduasi daripada Pro Canselor UPM, Peter Chin Fah Kui dalam Majlis Konvokesyen UPM ke-49, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Atlet sofbol negara, Afrina Syahirah Kaharudin tidak menjadikan kesibukannya di padang sebagai halangan untuk menggenggam ijazah selepas berjaya menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kejayaan itu juga memberi semangat tambahan kepada graduan Bacelor Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik itu bagi mewakili Malaysia pada Sukan SEA ke-33 di Bangkok, Thailand yang akan berlangsung pada 9 hingga 20 Disember ini.

Cabaran membahagikan masa antara akademik dan kerjaya sebagai atlet bukanlah mudah lebih-lebih lagi perlu menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa, namun Afrina membuktikan bahawa kecemerlangan akademik dan sukan mampu digapai serentak dengan disiplin, pengurusan masa dan pengorbanan berterusan.

“Membawa nama Malaysia di Sukan SEA datang dengan tekanan besar, tetapi saya belajar mengurusnya dengan fokus, persediaan dan mindset yang tenang,” katanya.

Afrina mengakui pernah berada di ambang putus asa apabila berdepan tekanan akademik dan jadual latihan yang padat, khususnya ketika melalui subjek-subjek kejuruteraan yang mencabar.

“Saya pernah rasa terlalu penat sampai terfikir untuk tukar kursus, tetapi setiap kali saya bertenang, saya akan ingat semula perjalanan saya dari padang sekolah sampai ke peringkat kebangsaan. Kalau saya sudah kuat sampai sini, tak wajar saya berhenti hanya kerana satu fasa sukar,” katanya.

Sokongan ibu, Kamisah Sukir, 55 dan bapa, Kaharudin Samsudin, 55, yang juga merupakan atlet kebangsaan Sepak Takraw menjadi tunjang utama yang memastikan beliau kekal bertahan sehingga kini.

“Pengorbanan ibu bapa saya paling menyentuh hati. Mereka ulang-alik hantar saya ke latihan, tunggu berjam-jam di padang dan pastikan saya ada peralatan terbaik walaupun bukan mudah bagi mereka.

“Saya juga bersyukur kerana pensyarah dan pihak universiti banyak membantu dari segi kefahaman terhadap jadual latihan dan pertandingan,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN