PETALING JAYA: Tiga keputusan perlawanan antarabangsa yang membabitkan skuad Harimau Malaya dibatalkan dengan kemenangan 3-0 diberikan kepada pihak lawan selepas Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman susulan kesalahan menurunkan pemain yang tidak layak.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat FIFA yang dipengerusikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Jorge Palacio, pada 12 Disember lalu.
FIFA mendapati FAM telah melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam tiga perlawanan antarabangsa Tier 1.
Perlawanan tersebut ialah Malaysia menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei lalu yang berkesudahan seri 1-1.
Disusuli, Malaysia bertemu Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil (4 September ) yang dimenangi Malaysia 2-1 dan Malaysia menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri(8 September) yang dimenangi Malaysia 1-0.
Berikutan itu, FIFA membuat keputusan Malaysia diumumkan kalah dengan jaringan 3-0 bagi ketiga-tiga perlawanan berkenaan.
Selain terpaksa menerima kekalahan, FAM turut dikenakan denda sebanyak CHF10,000 (RM51,414).
FAM akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan rasmi keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA.
Keputusan rasmi ini bakal menjadi asas bagi persatuan menilai langkah seterusnya, termasuk kemungkinan membuat rayuan atau tindakan pembetulan.
Sebelum ini, FAM mengesahkan pihaknya mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung hukuman yang dikenakan oleh FIFA.-UTUSAN










