Emas kejar-mengejar lengkapkan sasaran 200 pingat Malaysia

Emas kejar-mengejar lengkapkan sasaran 200 pingat Malaysia

Skuad negara beraksi dalam acara kejar-mengejar lelaki akhir pada Sukan SEA Thailand 2025 di Sports Authority of Thailand di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kontinjen Malaysia akhirnya mencapai sasaran 200 pingat tanpa mengira warna di Sukan SEA Thailand 2025 selepas skuad berbasikal trek negara menghadiahkan detik bermakna itu menerusi pingat emas acara kejar-mengejar akhir lelaki, hari ini.

Emas ketiga skuad trek itu bukan sekadar kemenangan biasa, sebaliknya menjadi simbol kejayaan keseluruhan kontinjen negara apabila menandakan pingat ke-200 Malaysia sepanjang kempen temasya kali ini.

Beraksi di Velodrom Hua Mark, Bangkok, gandingan Abdul Azim Aliyas, Newjoe Lau, Muhammad Hafiq Mohd Jafri dan Muhammad Yusri Shaari mempamerkan kayuhan bertenaga sepanjang 11 pusingan perlumbaan sebelum memintas cabaran tuan rumah dengan berbaki dua pusingan untuk mengesahkan emas ke-45 negara.

Thailand terpaksa berpuas hati dengan pingat perak manakala Indonesia melengkapkan podium di tempat ketiga.

Kejayaan itu turut menyaksikan Malaysia mempertahankan emas acara kejar-mengejar lelaki selepas kali terakhir dimenangi pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Terdahulu, Muhammad Ridwan Sahrom membuka tirai kejayaan acara trek negara dengan menjuarai acara keirin lelaki untuk meraih emas pertama.

Ratu berbasikal lebuh raya negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir, kemudian menyumbang emas kedua skuad trek selepas melakukan pecutan bertenaga dengan memintas empat pelumba pada saat akhir dalam acara scratch wanita.

Emas kejar-mengejar itu memastikan hari pertama acara trek menjadi milik mutlak Malaysia apabila menyapu bersih semua emas yang dipertandingkan, dengan dua lagi acara dijadualkan berlangsung esok iaitu point race dan pecut berpasukan lelaki.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN