GUATIRE: Lebih 200 tahanan politik Venezuela melancarkan mogok lapar bagi menuntut pembebasan segera di bawah undang-undang pengampunan baharu yang mengecualikan ramai daripada mereka.
Banduan di Penjara Rodeo I, kira-kira 40 kilometer di timur ibu negara Caracas, melaungkan kata-kata kepada ahli keluarga mereka sebagai sebahagian daripada protes itu, menurut wartawan AFP di lokasi.
‘Kebebasan!’, ‘bebaskan kami semua!’ dan ‘Rodeo I mogok!’ antara laungan yang kedengaran dari luar kemudahan tersebut.
Undang-undang pengampunan itu diluluskan oleh Kongres Venezuela pada Khamis sebagai sebahagian daripada gelombang pembaharuan yang digalakkan Amerika Syarikat (AS) selepas bekas Presiden, Nicolas Maduro digulingkan dan ditangkap pada 3 Januari lalu.
Mogok lapar yang bermula malam Jumaat itu tercetus selepas banduan mendakwa mereka tidak akan mendapat manfaat daripada undang-undang berkenaan kerana ia mengecualikan kes melibatkan anggota tentera, kategori paling lazim di penjara tersebut.
“Kira-kira 214 orang secara keseluruhan, termasuk rakyat Venezuela dan warga asing, sedang melancarkan mogok lapar,” kata ibu mentua kepada seorang banduan bernama Nahuel Agustin Gallo, Yalitza Garcia
Gallo, seorang pegawai polis Argentina, didakwa atas tuduhan keganasan, satu lagi kategori yang dikecualikan.
“Mereka memutuskan pada Jumaat untuk melancarkan mogok lapar kerana skop undang-undang pengampunan yang mengecualikan ramai daripada mereka,” kata anak kepada seorang anggota polis yang ditahan pada 2024, Shakira Ibarreto.
Pada Ahad, satu pasukan daripada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) melawat Penjara Rodeo I.
“Ini kali pertama mereka membenarkan kami menghampiri penjara itu. Ini langkah pertama dan saya fikir kita berada di landasan yang betul,” kata Penyelaras Kesihatan ICRC bagi Venezuela, Filippo Gatti kepada ahli keluarga banduan.
Menurut ahli keluarga, tidak semua banduan di penjara berkenaan menyertai mogok lapar itu.
Tokoh pembangkang mengkritik undang-undang baharu itu yang dilihat mengandungi pengecualian bagi beberapa kesalahan yang sebelum ini digunakan pihak berkuasa untuk menyasarkan penentang politik Maduro.
Undang-undang itu turut mengecualikan anggota pasukan keselamatan yang disabitkan kesalahan berkaitan aktiviti yang dianggap kerajaan sebagai keganasan.
Bagaimanapun, pengampunan itu menyaksikan 11,000 tahanan politik sepanjang hampir tiga dekad dibebaskan secara parol atau dikenakan tahanan rumah.
Lebih 1,500 tahanan politik di Venezuela memohon pengampunan di bawah rang undang-undang tersebut, menurut ketua badan perundangan negara itu pada Sabtu.
Ratusan yang lain telah dibebaskan lebih awal oleh kerajaan Rodriguez sebelum rang undang-undang pengampunan itu diluluskan.-AFP










