Calvert-Lewin ikat Sunderland

Calvert-Lewin ikat Sunderland

PENYERANG Leeds United, Dominic Calvert-Lewin ketika beraksi menentang Sunderland, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNDERLAND: Dominic Calvert-Lewin meneruskan sentuhan panasnya apabila menjaringkan gol buat perlawanan keenam berturut-turut Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk membantu Leeds United mengikat Sunderland 1-1 di Stadium of Light, sekali gus menafikan tuan rumah peluang berada dalam kelompok lima teratas, malam tadi.

Gol Simon Adingra pada separuh masa pertama meletakkan Sunderland di depan, namun jaringan awal babak kedua oleh Calvert-Lewin memastikan Leeds pulang dengan satu mata berharga.

Keputusan seri itu menyaksikan Sunderland mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri musim ini, meskipun berdepan kekangan besar selepas kehilangan enam pemain utama akibat tugasan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Adingra, yang pernah menjadi tonggak penting Ivory Coast ketika menjuarai AFCON di laman sendiri tahun lalu, memanfaatkan peluang apabila tidak terpilih kali ini dengan meledak gol pertamanya bersama Sunderland.

Bekas pemain sayap Brighton itu menyudahkan gerakan kemas hasil lorongan tepat Granit Xhaka pada minit ke-28 untuk menewaskan penjaga gol Leeds.

Sunderland hampir menggandakan kelebihan sebelum rehat, namun tandukan Brian Brobbey pada masa kecederaan hanya singgah di palang gol.

Leeds bangkit dengan lebih agresif selepas rehat dan Calvert-Lewin menyempurnakan hantaran lintang rendah Brenden Aaronson untuk gol kelapannya musim ini, tujuh daripadanya hadir dalam enam perlawanan terakhir.

Keputusan itu membantu Leeds menjauh tujuh mata daripada zon penyingkiran, sekali gus meredakan tekanan terhadap pengendali mereka, Daniel Farke, manakala Sunderland kekal di tangga ketujuh liga. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN